Berita Utama

Penerbitan mahu hina simbol kedaulatan negara: Musa Hassan

'Kenapa tak guna saja Jata Negara kalau tiada niat menghina?'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yakin penerbitan kulit buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’ yang memanipulasi Jata Persekutuan bertujuan untuk menghina simbol kedaulatan negara. 

Beliau berkata, jika penerbit dan pereka buku berkenaan tidak berniat menghina, kenapa tidak menggunakan sahaja Jata Persekutuan dan mengapa perlu mengubah suai kepada ilustrasi lain sekiranya kandungan buku berkenaan adalah mengenai Malaysia. 

Justeru, beliau mempersoalkan tujuan penerbit buku berkenaan menggunakan ilustrasi yang menyerupai Jata Negara, dan menolak alasan kononnya ia sebagai rujukan. 

“Penerbit menukar (Jata Negara), jadi apa tujuan rujukan? Jika menyebut rebirth of negara, kamu bercakap mengenai Malaysia bukan artwork (kerja seni). 

“Kalau bercakap mengenai negara gunakanlah Jata Negara, kenapa perlu diubah suai dan menggunakan artwork lain yang menyerupainya Jata Negara? Apa tujuan kamu?,” soalnya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Sebelum ini, kartunis Zulkifilee SM Anwar Ulhaque atau Zunar membela imej muka hadapan buku berkenaan yang didakwa kononnya bukan memanipulas Jata Negara. 

Zunar yang dipetik sebuah portal liberal berkata, imej yang dipaparkan di kulit buku itu tidak patut dilihat sebagai memanipulasikan Jata Negara, selain mendakwa pereka hanya menggunakan lambang itu sebagai rujukan. 

“Ini kerana hanya satu bahagian iaitu kurang dari 50 peratus dari keseluruhan gambar lambang Jata Negara yang lengkap digunakan dalam karya itu. 

“Manipulasi adalah apabila seseorang menggunakan keseluruhan logo dan mengubah satu atau sebahagian kecil dari keseluruhan logo,” kata kartunis kontroversi itu. 

Buku suntingan penulis, Kean Wong itu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. 

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan larangan terhadap buku berkenaan di bawah Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

Mengulas lanjut, Musa berkata, mana-mana pihak atau individu yang memiliki naskah berkenaan boleh dikenakan tindakan memandangkan buku itu telah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia. 

“Pihak KDN telah mengharamkan buku tersebut, jadi sesiapa yang memiliki buku atau naskah sama ada melalui web boleh diambil tindakan,” katanya. 

Ditanya mengenai kewajaran meminda undang-undang bagi mempertingkatkan hukuman ke atas individu yang menghina dan memperlekehkan lambang negara, Musa berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita sudah ada undang-undang dan hukumannya. Terpulang kepada mahkamah untuk menghukum mereka. 

“Pada saya tak perlu lagi meminda undang-undang, cuma perlu penguatkuasaan yang lebih tegas. Ada undang-undang tetapi tiada penguatkuasaan tak guna juga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button