Berita Utama

Penerima BSH boleh tuntut bantuan khairat kematian RM1,000

Tuntutan boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri

KOTA KINABALU, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berhak mendapat bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata tuntutan itu boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Abdul Rahim berkata penerima BSH juga secara automatik mendapat MySalam, iaitu skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

”Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata penerima BSH di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.

Beliau berkata masih ramai penduduk layak di kawasan berkenaan belum menerima bantuan BSH terutama bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank.

Justeru, Abdul Rahim berkata Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close