Berita Utama

Politik Melayu lemah punca parti kaum lain besar kepala

Tiba masa kita buang ego, bersatu demi kepentingan agama, bangsa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Walaupun parti-parti politik Melayu dan Bumiputera di negara ini mempunyai perbezaan pendapat serta prinsip, namun harus dipastikan bahawa matlamat asas perjuangan terutama dari segi agama, pendidikan dan ekonomi adalah sama.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ia amat penting demi memastikan kesepakatan dan perpaduan orang Melayu Islam serta Bumiputera menjadi lebih kukuh sekali gus disegani parti-parti lain.

Jika tidak dilaksanakan sedemikian, katanya, parti kaum lain akan menganggap orang Melayu sebagai kaum yang tidak kuat dan mudah dibolosi. 

“Patutnya walaupun ada perbezaan pendapat, prinsip tapi matlamat mesti sama. Seperti mana kita tengok orang Cina, DAP dan MCA misalnya. Matlamat penting sebagai kaum Cina mereka adalah sama, maka dengan itu, jawatan dalam kerajaan, politik pemerintahan, mereka tak bertelagah.

“Lihat sahaja MCA cadangkan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Walhal bukannya sama parti mereka, tak sepatutnya berlaku begitu, tapi mereka boleh. Dalam kalangan orang Melayu tiada pun begitu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, perkara malang ini terjadi kerana parti-parti Melayu tiada matlamat yang sama. 

“Perjuangan mereka lain-lain. Kalau ada satu parti yang perjuangkan Islam, parti lain mengejek-ngejek. Nak bawa rang undang-undang tegakkan syariat Islam pun diperlekeh. Walhal sepatutnya sokonglah.

“Sebab itulah MCA besar kepala, apa sebab Cina kurang ajar? Sebab Melayu sendiri tak kuat, itu yang dia berani cakap macam macam,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Atory menegaskan, jika ada kesepaduan dalam kalangan orang Melayu Islam atau Bumiputera bukan Islam, maka politik negara akan lebih stabil bahkan negara akan maju di masa hadapan.

“Dengan kerajaan baharu kita berharap, bersama-sama memperjuangkan matlamat orang Melayu Islam, Bumiputera. Diharapkan juga Tan Sri Muhyiddin dapat melembutkan hati para pemimpin politik untuk bersatu. 

“Sudah sampai masanya parti-parti Melayu dan Bumiputera ini mengenepikan ego dan juga kepentingan peribadi yang sempit demi bangsa dan negara.

“Tumpukan agenda besar. Kalau kita dah berjaya nanti, orang kaum-kaum lain juga akan terima manfaatnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close