Berita Utama

Sekretariat guna duit poket sendiri gerakkan BMF, tak ditaja parti politik

Jangan heret usahawan ke kancah pergaduhan politik antara parti

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Tidak mengapa jika mahu menegur komitmen mana-mana parti politik mengenai kempen Beli Produk Muslim (BMF) sebelum dan selepas menjadi kerajaan, tetapi janganlah melabelkan usaha itu ditaja oleh mereka, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

Menyifatkan dakwaan itu berniat jahat dan menyimpang, beliau berkata, kempen BMF tidak pernah ditaja oleh mana-mana parti kerana ia gerakan umat Islam menerusi usahawan, NGO dan pembeli muslim di peringkat akar umbi masyarakat. 

Malah, Haji Aminuddin berkata, sekretariat penganjur yang menggerakkan kempen itu juga menggunakan duit poket masing-masing tanpa menerima satu sen pun peruntukan daripada mana-mana pihak, apatah lagi parti politik.

“Jika kempen ini ditaja oleh parti politik, pasti kempen ini subur dan pesat membangun di negeri-negeri yang diperintah oleh parti tersebut. 

“Dan pastinya usahawan-usahawan muslim di negeri-negeri tersebut sudah kaya raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil yang mempersoalkan sikap membisu PAS berhubung kempen BMF – dengan mendakwa ditaja parti itu – selepas membentuk kerajaan. 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia dilihat tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS,” kata Faiz. 

Menyelar kenyataan pemimpin PAN itu, Haji Aminuddin mengingatkan Faiz supaya tidak cuba mempolitikkan kempen berkenaan dan mengheret usahawan muslim ke kancah pergaduhan politik antara parti. 

“Akhirnya yang rugi hanyalah peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan muslim yang baru sahaja hendak bertatih ini manakala politikus tetap kaya raya menikmati segala elaun. 

“Sudahlah tidak mahu membantu malah hanya membuat kacau sahaja. Apakah mereka seronok menghalang usaha kebaikan iaitu usaha membantu saudara muslim yang lain? 

“Apakah ini ‘rahmatan lil alamin’ yang diperjuangkan?,” katanya. 

Pada masa sama, beliau turut menggesa pejuang kempen BMF untuk terus menyokong usahawan muslim memandangkan agenda memperkasakan ekonomi umat Islam adalah perjalanan yang panjang. 

“Usah pedulikan ‘nyamuk-nyamuk’ yang datang mengacau ini kerana mereka hanya tahu ‘menghisap darah’ sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button