Berita Utama

Ambil iktibar penganggur didenda RM27,000 hina Agong

ISMA harap tiada lagi perlakuan hina Agong pada masa hadapan

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Hukuman yang dijatuhkan ke atas seorang penganggur oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat hantaran jelik menggunakan profil Facebook palsu terhadap Yang di-Pertuan Agong tiga bulan lalu, wajar dijadikan pengajaran semua pihak.

Sahril Zainudin, 26, didenda RM27,000 atau sembilan bulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Menerusi penghakimannya, Edwin berkata, mahkamah mengambil kira bahasa yang digunakan adalah keterlaluan dan menjatuhkan Agong sebagai raja Berperlembagaan.

“Bagi pertuduhan kedua, tindakan OKS dengan niat untuk menganiaya seorang wanita iaitu dengan mewujudkan akaun palsu menggunakan nama pemilik asal FB Puan Linda (Fatin Aslinda Abu Talib, 33) menyebabkan dia menerima ugutan culik dan rogol oleh pelayar FB yang tidak dikenali,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Sahril selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa secara sedar membuat penghantaran itu dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya.

Dia didakwa membuat hantaran menerusi perkhidmatan FB atas nama Puan Linda secara sedar, didakwa dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran jelik berkenaan dibaca pada jam 1.05 petang, 2 Mac lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sementara pertuduhan kedua, OKS membuat kenyataan berkenaan dengan niat mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 29 Februari hingga 1 Mac lalu.

Lantaran itu, Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap perbuatan tidak bertanggungjawab ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

“Kita harap tiada lagi perlakuan menghina Agong lagi pada masa akan datang. Semoga ini menjadi pengajaran buat semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close