Berita Utama

Dakwa hina Jata Negara hal kecil bukti kejahatan DAP

Sebelum ini mereka begitu manis mulut kata dukung Perlembagaan

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Pendirian parti rasis dan cauvinis, DAP yang konon mendukung Perlembagaan umpama manis hanya di mulut, namun jahat dalam tindakan dakwa, Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata sedemikian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dilihat seperti bersetuju dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang mengubah suai Jata Negara apabila ‘membela’ mereka yang mencetuskan kontroversi berkenaan.

Wakil rakyat DAP itu sebelum ini menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) jangan membesarkan isu kecil dan terlalu sensitif terhadap karya seni yang tidak selari dengan pandangan sendiri lalu menindasnya menggunakan jentera kerajaan.

Menerusi kenyataan disiarkan media DAP – The Rocket – pada 30 Jun lalu, beliau turut mengutuk tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pemuda PAS yang membesarkan isu tersebut dan memanupulasi emosi rakyat demi manfaat politik.

Yoke Kong mendakwa, tindakan tersebut mencerminkan kejahilan mereka tentang bidang seni sekali gus tidak menghormati hasil karya serta kebebasan bersuara.

Menerusi kenyataan di Facebook, Dr Zainur Rashid mengungkit kembali ‘sikap talam dua muka’ pemimpin parti tamak haloba yang konon sebelum itu tegas mendukung Perlembagaan.

“Ada di kalangan YB mereka (Ronnie Liu) yang sertai perhimpunan bekas komunis. Ada di kalangan YB mereka yang kata bahawa Melayu itu pendatang (Kulasegaran). Ada di kalangan hartawan penaja mereka yang perlekeh bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya makan tidur.

“Ada di kalangan YB mereka yang cadang agar ditubuhkan kedutaan Malaysia di Israel. Ada di kalangan YB mereka yang kata bahawa MPAJA atau komunis adalah pejuang kemerdekaan. Ada di kalangan YB mereka yang mahukan undang-undang murtad dibenarkan.

“Saya tidak kata bahawa MCA lebih baik dengan seruan tolak Jawi, seruan pengiktirafan UEC, pemerkasaan vernakular dan tolak pemerkasaan syariah untuk umat Islam. Mereka saling bekerjasama tetapi pemimpin Melayu juga yang selalu tertipu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button