Berita Utama

DAP ditolak Cina? Beri mesej MCA tak perlukan kerusi Melayu

Ambil kerusi Cina, buktikan MCA, DAP, Gerakan tiada pakatan sulit

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Dakwaan MCA bahawa orang Cina kini sudah mula menolak kepimpinan DAP merupakan satu mesej yang perlu disambut baik oleh parti-parti Melayu.

Ia memberi gambaran MCA tampak selesa untuk bertanding di kerusi majoriti Cina yang serba banyak dan tidak lagi perlu berebut bertanding di kawasan Melayu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya merasakan, ia juga merupakan ruang paling ideal bagi membuktikan dakwaan MCA, DAP dan Gerakan saling bekerjasama di belakang tabir adalah tidak benar.

“Jika benar masyarakat Cina mula tolak DAP, maka MCA tidak perlu lagi bertanding di kawasan majoriti Melayu untuk ke Parlimen. Fokus sahaja di kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina yang sebenarnya serba banyak itu.

“Rebutlah 42 kerusi majoriti pengundi Cina dari DAP. Itu belum lagi dikira kerusi-kerusi DUN yang pastinya jauh lebih banyak.

“Saya pasti, parti politik Melayu pun sukar mendapat peluang untuk bertanding sebanyak 42 kerusi selepas dibahagi-bahagikan. MCA patut bersyukur kerana parti-parti Melayu langsung tidak berminat untuk bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, MCA perlu membuktikan parti berkenaan masih lagi releven dan bukan sekadar ‘sleeping partner’ mengaut keuntungan selepas Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

Beliau turut menasihati parti berteraskan kaum Cina itu supaya berubah dan memainkan peranan mendidik masyarakat Cina supaya lebih bersederhana dalam tindak-tanduk mereka.

“(Parti Melayu) Janganlah susah-susahkan diri untuk berkongsi bahagian kerusi majoriti Melayu yang perlu dibahagi-bahagikan antara parti-parti Melayu itu kepada MCA.

“Jika benar MCA mampu dan betul-betul sudah memenangi semula pengaruh masyarakat Cina, maka berubahlah. Jangan berperangai seperti DAP.

“Jadilah sebuah parti Cina yang sederhana, dan mainkanlah peranan untuk mendidik masyarakat Cina untuk sentiasa menjadi sederhana berdasarkan identiti dan prinsip-prinsip kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Biro Media Baharu MCA Pusat, Lau Chin Kok mendakwa, rakyat semakin hilang kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tindak-tanduk mereka tidak seperti sebuah kerajaan yang benar-benar hendak mempertahankan hak rakyat, tetapi lebih kepada kepentingan politik masing-masing.

“Masing-masing mempunyai niat tersembunyi apabila sudah menjadi kerajaan. Mereka lupa diri, lupa daratan dan seronok berada di kayangan.

“Keyakinan terhadap PH khususnya DAP mula tercalar apabila Barisan Nasional (BN) menang PRK Cameron Highlands dengan 12,038 undi, iaitu meningkat 1,731 undi, menewaskan calon PH dari DAP, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi, susut 910 undi.

“Rakyat juga tentu tidak lupa dengan insiden Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang ‘disekolahkan’ penduduk Cameron Highlands ketika berkempen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button