Berita Utama

Hina Jata Negara: Perbuatan ekstremis layak dilucut kerakyatan

Tindakan provokatif umpama wujud gerakan ubah identiti Malaysia

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengharamkan buku yang didakwa menghina Jata Negara, siasatan lanjut dan hukuman tegas perlu dilakukan ke atas dalang yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang demi perpaduan dan keamanan kita kecapi.

Ketua Perhubungan Negeri (KPN) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini sungguh ekstremis dan provokatif serta langsung tidak menghormati tiga teras negara iaitu Islam, Melayu dan raja.

Katanya, istilah Rebirth, Reformasi, Resistance dan Hope yang digunakan jelas menunjukkan adanya gerakan yang berani mahu mengubah identiti negara.

“…bukan sahaja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, bahkan layak dianggap sebagai pengkhianat negara dan dilucutkan kerakyatan.

“Apakah mereka setia dan layak tinggal di negara ini? Mereka belajar di mana? Apakah mereka lupa identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Ustaz Khoushaini hairan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menyifatkan isu kontroversi berkenaan adalah perkara kecil dan meminta semua menghormati hak bersuara serta tidak terlalu sensitif terhadap karya seni.

“Tidakkah Yoke Kong dapat membezakan antara karya seni dan lambang identiti negara yang seharusnya dihormati? Mungkin beliau perlu kembali ke sekolah untuk belajar Rukun Negara?,” soalnya sinis.

Beliau menegaskan, Jata Negara adalah lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh raja-raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Jelasnya, dalam peruntukan undang-undang turut menyebutkan tentang larangan menggunakan lambang negara dengan kaedah yang tidak wajar dalam Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Justeru, seluruh rakyat diseru bangun mempertahankan identiti negara dan sama-sama membuat laporan polis,” tegasnya.

Sebelum ini, buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Buku itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri berkuat kuasa semalam.

Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close