iGuru saran KPM jadikan 30 Julai cuti khas Aidiladha
Mohon 3 Ogos sebagai cuti pelepasan, ramai sudah rancang untuk Aidiladha
BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan semula tarikh cuti Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang kepada warga pendidik pulang ke kampung.
Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya mencadangkan supaya tarikh 30 Julai dijadikan cuti khas Hari Raya Aidiladha, manakala 3 Ogos 2020 pula sebagai cuti pelepasn.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan para guru dan orang ramai pulang berhari raya di kampung, setelah mereka tidak dapat merayakannya pada Hari Raya Aidilfitri.
“Langkah pemberian cuti khas ini adalah sebagai ganti cuti persekolahan yang sepatutnya berlaku pada tempoh Hari Raya Aidiladha serta memberi peluang orang ramai yang sudah merancang melaksanakan ibadah korban bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, sekiranya KPM keberatan untuk memberikan cuti khas pada Hari Raya Aidiladha, maka kementerian itu disaran mengurangkan hari cuti persekolahan pada bulan Ogos yang ditetapkan dari lima hari kepada hanya empat hari.
“Keprihatinan pihak KPM dalam memberikan cuti khas kepada warga guru akan menggembirakan mereka dan memudah perancangan Hari Raya Aidiladha,”katanya.
Sebelum ini, KPM mengumumkan bahawa pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan, serta murid Tahun 5 dan 6, akan bermula bersekolah pada 15 Julai ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata murid Tahun 1 hingga 4 sekolah rendah pula boleh mula ke sekolah pada 22 Julai ini.
Sementara itu, tarikh Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada 31 Julai.