Berita Utama

Khadam politik punca suara NGO Islam semakin sepi

Ada NGO Islam berpaksikan perjuangan mencari wang, kedudukan

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Ketidakdengaran kritikan atau desakan dari gerakan Islam berkenaan situasi politik negara dewasa ini ada kaitan dengan perubahan hala tuju mereka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi proksi parti politik.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mendakwa, keadaan itu menyebabkan keupayaan untuk menyuarakan pandangan terhalang meskipun tindak-tanduk parti politik yang dinaungi bercanggah dengan pendirian Islam.

“Jadi mereka sudah tidak ada apa…makna kalau dia bersama PH, dia takkan bercakap, mengkritik PH, dasar-dasar PH walaupun bercanggah dengan pandangan dia sebagai gerakan Islam.

“Jadi sebab itu ia tidak muncul dan sebahagian NGO-NGO Islam sebenarnya juga adalah mereka yang mencari duit, kedudukan dan sebagainya. Jadi bila mereka lantang (bersuara) (bila) dapat duit dia berhenti,” dakwanya ketika menjadi tetamu dalam program Temu Bual Bicara X di TV Pertiwi.

Ustaz Abdullah Zaik juga tidak menolak tanggapan bahawa gerakan Islam seperti ISMA sering menjadi alat kepada kepentingan politik pihak tertentu dan beranggapan ia merupakan ‘cukai’ yang perlu dibayar.

“Bila kita menyatakan pandangan walaupun pandangan itu tidak ada kaitan, tidak menyokong atau (terima) imbuhan dari mana-mana tapi kadang-kadang menguntungkan satu pihak berdasarkan kepada kepentingan ummah dan Islam.

“Contoh kita tolak colour revolution, kita seolah-oleh dilihat menyokong Datuk Seri Najib, kita bukan sokong beliau, tapi inilah suasana yang terpaksa kami hadapi,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan tindakan pihak yang sering mengkritik ISMA, Ustaz Abdullah Zaik berkata, ia merupakan manifestasi kepada betapa takutnya mereka dengan ideologi perjuangan berteraskan Islam dibawa gerakan Islam itu yang sama sekali tidak mungkin boleh digugat oleh mana-mana faktor.

Beliau berkata, ISMA mempunyai matlamat akhir yang konsisten iaitu membangunkan negara ini mengikut acuan peradaban serta kehidupan berteraskan agama Islam.

Selain itu, beliau menegaskan, ISMA tidak akan menjadi orang suruhan kepada sesiapa dan menyifatkan kehadiran gerakan Islam lain sebagai rakan yang boleh mengukuhkan hala tuju perjuangan.

“Kita takkan jadi khadam kepada sesiapa, makna kalau orang datang nak runding atau kerjasama dengan kita, tapi mula-mula objektifnya bagus untuk Melayu, Islam tapi bila dah mula pusing nak jadikan kita alat, kita akan tarik brek.

“Kami mahu laksanakan projek Islam, dalam konteks Malaysia kita menuntut suatu suasana di mana tujuan siasah syariah dapat dipertahan contohnya perpaduan ummah, perpaduan umat Islam terjaga, kalimah Allah menjadi lebih tinggi, kepimpinan sentiasa di tangan orang Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Abdullah mengakui, berdepan dengan cabaran menarik minat generasi muda dalam memastikan wujud kesinambungan dalam gerakan dakwah ISMA.

Dakwanya, ini kerana kebanyakan masyarakat khususnya golongan muda secara amnya memegang pendirian liberal secara tidak sedar ekoran enggan berpaut komitmen dengan mana-mana gerakan Islam.

“Kita masih percaya bahawa dalam sanubari mereka masih ada kecintaan kepada agama, kecintaan kepada bangsa dan masih hidup dalam budaya Islam walaupun mereka mungkin tidak faham. Bila datang satu masa tertentu kita akan dapat lihat mereka akan kembali kepada fitrah.

“Cabaran kita adalah membuat persiapan, saya yakin walaupun kami tak kelihatan ke hadapan berbanding orang lain, kita ada penyusunan, hala tuju dan kemampuan dalam pastikan kesinambungan dakwah kita pada masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close