Berita Utama

Laksana ‘CTOS’ perkahwinan bela bekas isteri terabai

Bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu diperluas jaga imej Islam

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Pendakwah bebas, Firdaus Wong mengesyorkan Mahkamah Syariah diperkasa dan diberikan peranan serta kuasa bagi menjaga imej Islam.

Cadangan berkenaan disuarakan Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu susulan kerap berlaku isu dalam kalangan lelaki yang tidak menunaikan tanggungjawab sebagai bekas suami dan seorang ayah.

“Kerap sangat mendengar lelaki tak bayar nafkah anak-anak tetapi mampu melancong dan berkahwin sana sini. Bekas isteri dizalimi lelaki dayus. Hak anak terabai.

“Andai Mahkamah Syariah dapat diperkasakan dengan memerintahkan potongan terus dari akaun bank si bekas suami terus kepada akaun bekas isteri untuk nafkah anak-anak mereka, maka Insha-Allah kita memaksa bekas suami memberikan hak bekas isteri dan anak-anak.

“Adil? Ya Islam menegakkan keadilan. Wanita untuk dilindungi, dibimbing dan dipimpin. Lelaki mesti cukup jantan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah. Jangan lepas tangan dan menafikan hak nafkah bekas isteri dan anak-anak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Bahkan beliau juga menyarankan mahkamah melaksanakan sistem ‘CTOS’ bagi menangani isu berkenaan.

“Kalau susah sangat, mahkamah buat sistem CTOS perkahwinan. Senarai hitam dari keluar negara bagi yang tak bayar nafkah dan mereka dari kahwin lagi. Apa macam?,” katanya.

Difahamkan, aduan berhubung suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat berbanding sebelumnya.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebelum ini hanya lima aduan sebulan diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah melalui laman sosial Facebook rasmi BSK atau e-mel BSK negeri.

“Kali ini kita menerima lima aduan dalam masa lima hari,” katanya mengenai jumlah bilangan aduan yang dikemukakan isteri atau bekas isteri, terhadap keengganan suami atau bekas suami memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak.

Katanya, aduan itu juga meningkat, selepas jabatan itu membuat iklan mengenai aduan boleh dibuat di Facebook rasmi BSK.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button