Berita Utama

Op Merpati: 24 PATI ditahan bersama tekong tempatan

Kesemua ditahan ketika dalam perancangan pulang ke Indonesia

KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) menahan 24 pendatang tanpa izin warga Indonesia selain seorang tekong warga tempatan dalam satu operasi di kawasan Tanjung Ayam,Sungai Rengit, Johor, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam kenyataan berkata kesemua ditahan ketika dalam perancangan pulang ke Indonesia semasa pasukan itu mengadakan rondaan keselamatan sekitar pukul 10.30 malam.

“Menerusi maklumat dari anggota petugas Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan pergerakan mereka, kumpulan anggota 61 RAD diketuai Kapten Amirul Zubir Mohammad Naim telah bergegas ke tempat itu.

“Seramai 21 lelaki serta tiga wanita warga Indonesia telah ditahan ketika cuba balik ke negara asal bersama seorang tekong lelaki warga tempatan yang berperanan membawa mereka,” menurut kenyataan itu.

Sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex dipercayai digunakan bagi membawa kesemua pendatang tanpa izin berkenaan turut dirampas dalam Op Merpati 1, di sektor Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) itu.

Kenyataan itu berkata kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar bagi tindakan susulan selain diarah menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada pagi ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button