Berita Utama

PLM syor lucut darjah kebesaran cemari bahasa kebangsaan

Sokong pindaan Akta DBP beri kuasa untuk penguatkuasaan

BANGI, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menyokong penuh usaha untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memberi lebih kuasa kepada badan berkanun itu melaksanakan penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan bersifat rasmi.

Timbalan Presidennya, Kamalshukri Abdullah Sani berkata, sudah tiba masanya untuk era penguatkuasaan setelah lebih enam dekad DBP ‘berdakwah’ dan mendidik rakyat serta pengguna bahasa untuk bersama-sama memartabatkan bahasa rasmi negara.

Tegasnya, banyak isu yang belum selesai seperti penggunaan bahasa di sektor swasta dan awam bahkan dalam sektor kerajaan sendiri terutama pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Malah sejak beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi-jadi rasa tidak hormat akan bahasa kebangsaan dalam keadaan bersifat rasmi atau majlis rasmi.

“Terbaharu, Timbalan Menteri Pendidikan menggunakan bahasa lain dalam keadaan berlogo rasmi kementerian seolah-olah bahasa rasmi tidak cukup untuk memahamkan rakyat negara ini yang telah lebih 60 tahun merdeka.

“Dalam keadaan rasmi, majlis rasmi kerajaan dan swasta wajar sekali hanya bahasa kebangsaan sahaja digunakan dan jika perlu untuk urusan antarabangsa hanya terjemahan bahasa Inggeris sahaja dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PLM turut mencadangkan supaya darjah kebesaran yang dianugerahkan ditarik balik sekiranya berlaku kebiadaban terhadap bahasa kebangsaan sama ada oleh mana-nama wakil rakyat, menteri mahupun timbalan menteri.

“Malah jika berulang lagi, gugurkan sahaja taraf kewarganegaraannya kerana jelas tidak hormat dan mencabar kedaulatan bahasa rasmi yang turut dinaungi oleh baginda sultan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Selalunya apabila hal seumpama ini berlaku, segeralah yang berkenaan memohon maaf sebagai penyelesaian atau membuang perkara yang dipertikai daripada dipaparkan dalam media. Kemudiannya pihak lain pula akan mengulang kesilapan yang hampir sama dan akhirnya permohonan maaf yang begitu murah terus menjadi permainan di media.

“Maka ketegasan penguatkuasaan oleh DBP melalui pindaan akta yang dicadangkan amat diperlukan untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang berhajat untuk biadab terhadap bahasa rasmi negara,” katanya.

Terdahulu, DBP menyarankan kerajaan meminda Akta DBP bagi membolehkan badan berkanun itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, hampir semua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

Menurutnya, lebih malang DBP dipersalahkan apabila papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar lebih mengutamakan nama asing berbanding bahasa Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button