Berita Utama

Sidang Dewan Rakyat akan dilaksana ikut SOP ditetapkan

Kedudukan Ahli Parlimen di dalam dewan akan diperkemaskan

BATU PAHAT, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 13 Julai depan akan dilaksanakan dalam keadaan kebiasaan baharu, dan walaupun terdapat sedikit kelonggaran diberikan, namun, ia perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, perkara utama yang perlu diikuti adalah jarakan sosial satu meter di antara Ahli Parlimen dan ia akan tetap dilaksanakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, kedudukan setiap Ahli Parlimen di dalam dewan akan diperkemaskan, termasuk kedudukan mereka yang sebelum ini yang agak tidak sekata jaraknya.

“Ketika sidang sebelum ini (18 Mei lepas), ada jarak antara YB (Yang Berhormat) ini yang satu meter atau lebih, namun, pada sidang yang akan datang ini ia akan disusun dengan kiraan yang lebih tepat agar persidangan dapat berlangsung dengan lancar dan mampu memuatkan para tetamu.

“Semua Ahli YB perlu hadir pada kali ini kecuali ada alasan kukuh… pemeriksaan kesihatan pula hanya perlu dilakukan bagi mereka yang bergejala,” katanya yang ditemui pemberita pada program pemberian sumbangan kebajikan Parlimen Batu Pahat, di sini, hari ini.

Mohd Rashid berkata, persidangan Dewan Rakyat juga akan dijalankan seperti kebiasaan dengan tempoh masa bersidang akan dimulakan pada pukul 10 pagi dan akan tamat pada 5.30 petang, kecuali jika ada usul baharu.

Beliau berkata, sidang berkenaan boleh dianggap penting, yang akan lebih memfokuskan kepada usul berkaitan keselamatan negara berbanding dengan usul lain.

Sementara itu, berkaitan pemberian sumbangan hari ini, Mohd Rashid memaklumkan ia membabitkan lima penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan, selain sumbangan turut diberikan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Parlimen Batu Pahat.

“Sumbangan RM20,000 ini turut dipanjangkan kepada beberapa orang nelayan yang terlibat dalam kejadian ribut bulan lepas sehingga mengakibatkan kerosakan kepada bot masing-masing,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close