Berita Utama

Warga asing masih tidak dibenar solat jemaah di masjid, surau

Perlu teliti laporan pihak berwajib seperti JAWI untuk tahu keadaan

KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Warga asing masih tidak dibenarkan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat untuk membenarkan warga asing solat berjemaah di masjid dan surau, pihaknya perlu meneliti laporan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengetahui keadaan di masjid dan surau yang kini sudah mula dibuka.

“Kita mahu lihat laporan daripada JAWI (mengenai masjid di bawah JAWI) dan beberapa tempat lain. Sekiranya (keadaan) stabil dan tidak menjadi masalah maka pada masa itu kita akan dapat satu keputusan.

Kita rasa dalam masa sebulan dua lagi kita boleh selesaikan masalah ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Misi Musa’adah Pasca COVID-19 JAWI Food Bank anjuran JAWI di sini, hari ini.

Pada program itu, Zulkifli menyampaikan bantuan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 50 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di sini.

Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau-surau dan dewan-dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menurutnya pelaksanaan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close