Berita Utama

Keputusan masuk arena politik untuk berkhidmat kepada negara

Tumpuan sekarang ialah meneruskan pembaharuan fiskal

KUALA LUMPUR, 7 Muharam 1444H, Jumaat – Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusannya untuk memasuki arena politik adalah satu keputusan yang sukar tetapi amat diperlukan untuk beliau terus berkhidmat kepada negara.

Dalam satu wawancara dengan Cable News Network (CNN), beliau berkata selaku seorang senator sekarang ini tempoh perkhidmatannya terhad kepada enam tahun sahaja.

“Jika anda mahu terus berkhidmat untuk negara, anda perlulah menyertai politik secara aktif.

Tumpuan saya sekarang ialah meneruskan pembaharuan fiskal dan untuk meneruskan dalam jangka masa panjang saya memutuskan untuk memasuki arena politik dan memainkan peranan dalam sebuah parti politik,” katanya.

Walaupun keputusan itu mungkin bukan sesuatu yang popular, Tengku Zafrul berkata ia keputusan yang tepat dan adalah penting rakyat memahami mengapa keputusan seperti itu perlu dibuat.

“Anda perlu melakukannya. Tiada pilihan untuk itu. Masalahnya apabila membuat satu keputusan sukar anda tidak mempunyai masa dan cara terbaik ialah menyuarakannya secara elok.

Kami memerlukan pengurusan pihak berkepentingan yang lebih mantap dan kami telah melakukannya serta kami membuat banyak keputusan sukar, terutamanya semasa krisis, krisis COVID-19. Jadi saya fikir komunikasi adalah kuncinya dan yang terbaik juga ialah menumpukan kepada pembaharuan negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button