Berita Utama

Calon Speaker Dewan Rakyat mesti junjung tinggi kedudukan Islam

Kerajaan jangan tunduk desakan mana-mana pihak berkepentingan

BANGI, 12 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Individu yang menggalas jawatan Speaker Dewan Rakyat mestilah menjunjung tinggi kedudukan serta kedaulatan Islam dalam Perlembagaan, demikian tegas Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikin susulan timbul pelbagai spekulasi termasuk untuk melantik individu yang mempunyai reputasi buruk dalam isu berkait dengan agama Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Saya ingin menegaskan semula tuntutan NGO-NGO Islam yang sepakat mendesak pihak kerajaan mempertimbangkan ciri-ciri seorang Speaker Dewan Rakyat yang bakal dilantik, seperti berikut: Pertama, menjunjung tinggi kedudukan serta kedaulatan Islam dalam Perlembagaan.

“Kedua, menghormati serta menjunjung sistem Raja Berpelembagaan. Ketiga, menghormati serta menjamin hak kedudukan orang Melayu, Bumiputera dan hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keempat, berakhlak mulia, berintegriti dan mempunyai rekod bebas rasuah dan kelima tegas dalam menjunjung semua prinsip Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil serius tuntutan ini bagi kelansungan dan jaminan untuk agenda Islam dan Bumiputera dapat ditegakkan melalui sistem Parlimen.

“Kita minta rakyat juga untuk sentiasa cakna mengenai perkembangan perlantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu ini supaya kerajaan tidak mudah tunduk akan permintaan mana-mana pihak berkepentingan untuk menjadi Speaker semata-mata untuk agenda karier politik peribadi atau partinya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, calon untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu telah dikenal pasti.

Tanpa menamakannya, Fadillah hanya memberi bayangan bahawa calon berkenaan bukannya seorang Ahli Parlimen dan hanya tersenyum apabila ditanya sama ada calon berkenaan juga dari Sarawak.

Sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ditamatkan.

Katanya, usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Usul berkenaan dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button