Berita UtamaIstimewa

SPRM dera rakyat Palestin jika terus beku akaun Aman Palestin

'Benarkan RM10 juta disalur, jika sangsi hantar pegawai iring AP'

BANGI, 17 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut sama mendera rakyat Palestin yang sedang menderita akibat Israel, sekiranya terus membekukan akaun Aman Palestin Berhad daripada menyalurkan wang ke Semenanjung Gaza.

Bekas Perdana Menteri itu bimbang dengan keadaan di Gaza berikutan kedatangan musim sejuk, apatah lagi kesan kekejaman Israel akan menambahkan lagi penderitaan penduduk Palestin di wilayah itu.

Beliau berkata, sebelum ini Aman Palestin menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lubnan bagi mengurangkan kesengsaraan mereka.

“Malangnya, Aman Palestin kita disiasat oleh SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan.

“Dengan itu, bantuan RM10 juta yang disediakan tidak dapat disalurkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Mahathir berpendapat, SPRM boleh meneruskan siasatannya, namun wang sebanyak RM10 juta daripada akaun Aman Palestin perlu dibenarkan disalur kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab yang menderita musim sejuk.

“Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang diamanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin.

“Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel,” katanya.

Rentetan kenyataan Dr Mahathir itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan dana Aman Palestin yang dibekukan tidak boleh dikeluarkan sehingga siasatan selesai.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan berhubung penggunaan terhadap dana awam berjumlah jutaan ringgit.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

“Ia berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button