Berita Utama

Ibu bapa di Labuan kena pastikan anak terima vaksin Polio

KKM sasar kanak-kanak umur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan

BANGI, 12 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa aktiviti survelan persekitaran untuk virus polio telah diperkukuhkan dengan memperluas lokasi persampelan ke 64 lokasi di seluruh negara, berikutan kejadian wabak polio di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil survelan persekitaran berkenaan, virus polio telah dikesan di dalam sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan disahkan oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes di kalangan penduduk Wilayah Persekutuan Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan 41 orang kanak-kanak sihat berumur bawah 5 tahun yang dijalankan secara rawak di WP Labuan.

Justeru, demi mencegah jangkitan daripada merebak di kalangan penduduk sekitar, KKM melalui Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan Kempen Imunisasi Polio di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kempen ini melibatkan pemberian dua (2) dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan.

“Semua ibu bapa di WP Labuan perlu memastikan anak-anak yang berumur bawah 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan, mengikut jadual yang dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b perlu terus diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Katanya, ia bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi daripada jangkitan polio secara optimum.

“Vaksin oral polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan,” katanya.

Pada masa sama, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih meneruskan Kempen Imunisasi Polio di Sabah.

“Sementara bagi kanak-kanak di negeri selain Sabah dan WP Labuan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tercicir suntikan vaksin polio, ibubapa dinasihatkan agar pergi ke mana-mana klinik kesihatan bagi penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button