Lebih 500 ribu mati kerana COVID-19
AS terus jadi negara paling terjejas dengan 128,740 korban
PARIS, 12 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Wabak pandemik COVID-19 yang mula melanda China pada Disember lalu kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 522,246 nyawa di seluruh dunia.
Sekurang-kurangnya 10,922,300 kes Coronavirus direkodkan di 196 negara dan wilayah dengan 5,619,700 disahkan pulih.
Angka yang diperolehi AFP daripada pengumpulan data pihak berkuasa negara dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu berkemungkinan hanya mencerminkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar.
Amerika Syarikat (AS) terus menjadi negara paling terjejas apabila mencatatkan 128,740 kematian daripada 2,739,879 kes.
Kira-kira 781,970 daripada jumlah itu disahkan sembuh daripada jangkitan.
Brazil juga kekal sebagai negara kedua paling terkesan dengan 61,884 kematian daripada 1,496,858 kes; diikuti United Kingdom (UK) (44,131 kematian daripada 284,276 kes); Itali (34,833 kematian daripada 241,184 kes) dan Perancis (29,893 kematian daripada 203,367 kes).
Sementara, Belgium muncul negara yang merekodkan jumlah kematian tertinggi berbanding populasi penduduknya iaitu 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti UK (65), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden 54. – Agensi