Berita UtamaDunia

Peguam Negara Israel konon ‘tak campur tangan’ isu rampasan Sheikh Jarrah

Jenayah cabul semua konvensyen antarabangsa

TEL AVIV, 27 Syawal 1442H, Selasa – Peguam Negara memberitahu Mahkamah Agung Israel, kononnya beliau tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang kes berprofil tinggi Sheikh Jarrah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Avichai Mendelblit berkata, tidak ada tempat baginya untuk campur tangan dalam proses tersebut.

Bulan lalu, Mahkamah Agung memberi masa kepada Peguam Negara hingga 8 Jun untuk mengemukakan pendapat perundangannya mengenai kes itu.

Menerusi sekeping surat yang dihantar ke mahkamah, Mendelblit berkata, berdasarkan banyak prosedur perundangan yang telah dilakukan mengenai kejiranan Sheikh Jarrah selama bertahun-tahun, beliau membuat kesimpulan bahawa tidak perlu hadir di mahkamah.

Keputusan Peguam Negara itu akan membuatkan Mahkamah Agung bebas memutuskan sama ada akan mendengar rayuan empat keluarga Palestin susulan dua keputusan Mahkamah Rendah bahawa mereka perlu meninggalkan rumah mereka.

Keempat-empat keluarga itu adalah sebahagian daripada kumpulan lebih daripada 500 penduduk Palestin – terdiri daripada 28 keluarga – menghadapi pengusiran paksa dari kawasan kejiranan.

Kenyataan oleh keluarga Sheikh Jarrah menolak penjelasan Mendelbit mengenai tidak campur tangannya, dengan mengatakan bahawa kes mereka bukanlah masalah undang-undang tetapi pengusiran paksa.

“Kami menegaskan bahawa kerajaan pendudukan Israel – di seluruh spektrumnya dari perdana menteri hingga semua institusi dan aktiviti Israel – berusaha untuk mengusir penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, sehingga mengabadikan jenayah penempatan Israel di Baitulmaqdis Timur.

“Sebaliknya kami menegaskan bahawa jenayah ini mencabul semua konvensyen antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Kami juga menegaskan bahawa percubaan ini tidak akan melemahkan kehendak kami untuk bertahan di tanah ini,” kata kenyataan yang disiarkan di media sosial itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button