Berita UtamaKolumnis

Rabbani asas jati diri wanita

Wanita penuhi ciri Rabbani cari ilmu, beramal dengan Allah

ALLAH SWT telah menjadikan wanita dengan penuh keistimewaan dan kehebatan yang tersendiri.

Namun, himpitan dan tekanan hidup pasca kemodenan telah menyebabkan ramai wanita hilang hala tuju, jati diri dan identiti asasi seorang wanita.

Himpitan ekonomi diri dan keluarga menyebabkan wanita perlu turut keluar memerah keringat dari pagi hingga ke malam, demi membayar bil dan menyara kehidupan.

Ragam ahli serumah, pasangan mahupun anak-anak cukup menyesakkan dan mengganggu ketenteraman mental dan emosi.

Paparan kemewahan dan kebahagiaan rakan sebaya di media sosial turut menambah cuka di luka hati yang sedia tidak bahagia dengan kehidupan sendiri, yang kelihatan tidak setanding.

Sogokan dan asakan bertubi dari pihak asing pula terus merosakkan nilai seorang wanita dengan memberikan definisi “hebat” yang berbeza dan pilihan “kebebasan”, yang bercanggah dengan naluri asasi seorang wanita.

Dalam kemelut jiwa yang melanda, adalah amat penting bagi kita untuk kembali membetulkan dan menghidupkan jati diri asas seorang wanita.

Ianya penting agar jiwa kita mampu untuk berhadapan dengan tekanan dari pelbagai sudut ini serta tetap muncul sebagai seorang wanita yang penuh dengan keistimewaan dan kehebatan seperti yang telah Allah tetapkan.

Sebagai seorang muslimah, salah satu jati diri asasi yang mesti ada adalah pegangan bahawa hidupnya di dunia ini adalah sebagai seorang hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT semata-mata.

Dengan itu, dia akan menterjemahkan jati dirinya serta setiap tingkah lakunya dengan mengikut arahan Allah serta menjauhi segala laranganNya, baik dalam keadaan terang mahupun bersembunyi. Ciri inilah yang dinamakan sebagai sifat Rabbani.

Ya, sifat Rabbani ini kedengaran sungguh mudah dan asas, namun hakikanya, dunia ini sering membuatkan manusia lalai dan alpa akan statusnya sebagai seorang hamba.

Kerana itu, bagi memenuhi ciri ini, seorang wanita itu akan secara berterusan mencari ilmu serta mewajibkan dirinya melakukan amalan-amalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah.

Dia juga akan berusaha memastikan bukan sahaja dirinya, tetapi juga seluruh ahli keluarganya serta masyarakat sekelilingnya untuk berpegang teguh dan kekal berada di atas jalan Allah.

Ini kerana dia yakin bahawa sifat Rabbani ini adalah kunci kepada hidup yang tenang dan hati yang reda.

Dia yakin bahawa sifat Rabbani ini yang akan memberinya kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup yang amat melelahkan dan menghimpit jiwa.

Dia yakin bahawa sifat Rabbaniah ini yang akan menyerlahkan kehebatan sebenar dirinya sebagai seorang wanita, seterusnya menjadi agen pembangunan tamadun kehidupan manusia di dunia.

MENGHIDUPKAN SIFAT RABBANI

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya al-Khaso’is al-‘Ammah li al-Islam telah menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Rabbani itu adalah meliputi empat aspek. Maka, bagi menyempurnakan sifat Rabbani dalam diri kita, marilah bersama-sama kita memperhalusi dan berusaha mewujudkan empat aspek seperti berikut;

i. RABBANI PADA TUJUAN DAN MATLAMAT

Ia bermaksud setiap matlamat atau tujuan sesuatu usaha, amal, cita-cita, sasaran, perjuangan, pengorbanan dan halatuju kehidupan seseorang sentiasa berada dalam acuan dan kerangka menuju dan mencapai keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Dan tiadalah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu,”(l-Dzariyyat: 56)

Firman Allah SWT : “Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah, Rabb sekalian alam,” (al-An’am: 162)

Maka, sebagai seorang wanita, kita perlu sentiasa memastikan bahawa setiap amal perbuatan yang kita lakukan harus diniatkan untuk mendapat keredhaan Allah.

Sama ada kita berperanan sebagai seorang pelajar mahupun pekerja, seorang ibu mahupun anak, seorang isteri mahupun sahabat, seorang Instafamous mahupun ahli politik, haruslah dengan penuh kesedaran untuk mencapai redha Allah.

Sifat rabbani pada tujuan dan matlamat ini akan menjaga diri kita daripada terjebak dengan amalan dan “trend” yang sia-sia dan tercela.

Sebagai seorang ibu, kita tidak mendidik anak-anak dengan berkiblatkan amalan barat yang kelihatan “cool”, namun menyimpang dari kebenaran, seperti menghantar anak kecil terkinja-kinja menari di atas pentas hiburan atau media sosial dengan pakaian mencolok mata.

Sebagai seorang Instafamous atau pengamal media sosial, kita tidak terjebak dengan “challenge-challenge” sia-sia, yang menjatuhkan maruah seorang wanita.

Sebagai seorang usahawan, ktia tidak berniaga pada perkara yang haram seperti penjualan arak atau perkhidmatan kelab malam, walaupun ia kelihatan menjanjikan keuntungan yang besar.

Seorang wanita muslimah yang berbekalkan sifat rabbaniah akan sentiasa menghitung setiap tindak-tanduknya, sejauh mana ia adalah perbuatan yang mendekatkannya atau menjauhkannya daripada reda Allah SWT.

Sifat ini akhirnya menjadi sumber ketenangnan jiwa, kerana diri sentiasa terpelihara dari perkara haram dan sia-sia, yang walau nampak hebat di mata manusia, akan kekal meresahkan jiwa.

ii. RABBANI PADA PERSEPSI

Ianya membawa maksud wanita melihat sesuatu persepsi, tanggapan dan ‘worldview’ melalui kerangka dan kaca mata yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasulnya.

Sebagai contoh, bagaimana ia memandang dunia adalah ladang dan jambatan akhirat yang ia perlu bercucuk tanam di dalamnya untuk dituai hasilnya di akhirat kelak.

Sebagaimana Allah menyebut dalam al-Quran tentang persepsi dan ‘worldview’ rabbani berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahgiaan akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu dari dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan,” (al-Qasas: 77)

Seorang wanita yang rabbani pada persepsinya tidak akan tenggelam dalam perlumbaan mengejar kemewahan dunia.

Ini kerana, dia jelas bahawa dunia ini hanya persinggahan sementara bagi mengumpul bekalan akhirat yang kekal abadi.

Maka, apabila dia melihat rakan sebaya mengumpulkan harta dan kemewahan berkepuk-kepuk, menjawat jawatan yang tinggi dengan gaji yang besar, mendapat populariti yang tiada tandingan seantero negara dan dunia, ia langsung tidak meresahkan jiwanya mahupun mengubah haluan hidupnya.

Malah, dia mampu meraikan kegembiraan dan rezeki orang lain.

Dia juga jelas, rezeki yang telah ditakdirkan untuknya takkan salah alamat, tinggal sahaja dia perlu berusaha seperti ketetapan sunnatullah.

Selebihnya, fokus kehidupannya adalah dengan menuai hasil lumayan di akhirat sana.

iii. RABBANI PADA SUMBER

Rabbani pada sumber bermaksud meletakkan segala sumber dan akar umbi kehidupannya kepada Allah SWT dan Rasul.

Ia juga bermaksud mengembalikan sumber rujukan serta sandaran peraturan kehidupannya hanya kepada apa yang Allah dan Rasul telah tetapkan.

Ia tidak mengambil sumber yang lain selain dari al-Quran, sunnah dan apa yang diputuskan para ulama, jauh sekali dari mengambil sumber-sumber yang bertentangan dengan Islam.

Firman Allah SWT : “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri dari kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya, sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat,” (al-Nisa’: 59)

Wanita Rabbani menolak pandangan liberal kerana pandangan liberal berasaskan kepada kebebasan dari agama dan menolak pandangan ulama.

Wanita Rabbani juga akan berhati-hati dalam mengambil sumber agamanya dengan mempelajari agama dari mereka yang ahli dalam bidangnya.

Dia tidak terkinja-kinja dalam usaha menuntut hak sama rata dengan golongan lelaki seperti yang diperjuangkan golongan feminisme.

Dia tidak lemas dalam usaha sia-sia dan melelahkan untuk memperjuangkan perkara yang bertentangan dengan sunnatullah, seperti memperjuangkan aurat wanita yang sama seperti aurat lelaki.

Dia juga tidak celaru jiwa dalam mencari pengiktirafan melalui definisi “kebebasan” dan “kejayaan” ciptaan barat.

Dia cukup jelas dan merasa cukup dengan pengiktirafan yang telah Allah SWT berikan dalam al-Quran kepada kedua-dua lelaki dan perempuan yang beramal soleh.

iv. RABBANI PADA SISTEM

Rabbaniah pada sistem bermaksud yakin dan percaya serta meletakkan setiap sistem, peraturan, kaedah, dan undang-undang bagi kehidupannya berteras dan berasaskan kepada acuan Allah.

Ia hanya meyakini bahawa sistem dan peraturan Allahlah sistem terbaik untuk mengatur kehidupan dan penyelesai masalah manusia.

Tidak mengambil peraturan lain atau yang bertentangan dengan peraturan Allah untuk mengatur kehidupannya.

Firman Allah SWT: “Barangsiapa yang mencari selain dari Islam sebagai ad-Din , nescaya akan ditolak (oleh Allah) dan di akhirat ia akan termasuk ke dalam golongan yang rugi,” (Ali Imran: 85)

Firman Allah SWT : “Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (ad-Din) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui,” (al-Jathiyah: 18)

Wanita yang mempunyai sifat Rabbani pada sistem hidupnya sedar bahawa dia takkan mampu untuk puaskan hati semua manusia.

Dia juga sedar bahawa redha manusia hanyalah sementara, namun redha Allah SWT itulah yang abadi.

Maka, apabila bercanggah antara kehendak manusia dan perintah Allah, dia tidak akan teragak-agak untuk mengutamakan perintah Allah.

Pegangan ini menjadi prinsip dalam hidupnya dan panduan dalam setiap tindak-tanduknya.

Dalam mencari rezeki, dia tidak akan terjebak dalam amalan riba’ dan perniagaan yang diharamkan Allah.

Dalam mencapai kecemerlangan di tempat kerja, dia tidak terjebak dengan amalan rasuah demi menjawat jawatan yang tinggi.

Wanita yang mempunyai kefahaman dalam nilai rabbani akan sering tenang kerana setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya dikaitkan dengan sunnatullah dan sering mencari hikmah di sebalik setiap musibah.

RABBANIAH RUMAISA’ SEBAGAI TELADAN

Antara ciri rabbani yang boleh kita lihat adalah pada sahabat Rasulullah ﷺ bernama Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Rumaisa’ bintI Milhan.

Beliau telah meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dalam kehidupannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang ingin kekal dalam dunia jahiliah.

Kisah menarik ini adalah kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam dalam kalangan kaum Ansar.

Beliau telah memeluk Islam dan turut mengikut berbaiah, di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah.

Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya, yang masih musyrik .

Sekembali suaminya ke Madinah, beliau memarahi isterinya dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”

Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas: “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah ﷺ),”

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengajarkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadah. Anas akur.

Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar: “Jangan kau rosakkan anakku!”

Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab: “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukkanya kepada kebenaran,”

Malik akhirnya keluar ke Syam dan mati dibunuh di pertengahan jalan. Begitu teguh Ummu Sulaim dengan imannya.

Beliau mendidik anaknya Anas dan mengajarkannya tentang kecintaan kepada Rasulullah ﷺ. Beliau telah menyerahkan Anas kepada Baginda ﷺ untuk mendapat bimbingan dan pengasuhan di rumah Rasulullah, yang kemudiannya menjadi salah seorang sahabat yang terkemuka.

Beliau kemudiannya dilamar oleh Abu Talhah Al-Ansary yang ketika mengajukan lamaran tersebut masih seorang musyrik.

Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh di dalam masyarakat.

Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata “Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau,”

Abu Talhah segera bertemu Rasulullah ﷺ yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat.

Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, Baginda ﷺ bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian, dan tanda-tanda keislaman tampak di antara kedua matanya,”

Abu Talhah memberitahu Rasulullah ﷺ apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya.

Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!

Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang ikut berjihad bersama Rasulullah ﷺ dan mengubati tentera yang terluka.

Sebuah kisah keberaniannya bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah ﷺ di Perang Uhud ketika beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah bin Abu Thalhah.

Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan di pinggangnya.

Baginda ﷺ lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu dan dijawab dengan berani oleh beliau: ”Jika ada salah seorang antara orang-orang Musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku sendiri!”

Demikianlah secebis kisah Rabbani seorang wanita. Ummu Sulaim jelas pada matlamat hidupnya iaitu hanya untuk mencari keredhaan Allah, iaitu sanggup mengorbankan perkahwinan kerana Allah, memandang dunia sebagai jambatan untuk kehidupan akhirat dengan memperbanyakkan amalan dan berjihad dan seterusnya menjadikan Islam sebagai sumber rujukan di dalam hidup.

HAKIKAT HAMBA YANG KIAN DILUPAKAN

Lambakan maklumat dalam era teknologi digital hari ini menyebabkan kita sedikit hilang arah tuju dan panduan hidup.

Walaupun al-Quran dan sunnah telah menetapkan asas-asas untuk seorang insan menjadi hebat dan mencapai kehidupan yang optimum, namun lambakan ilmu dari pelbagai sumber yang kelihatan lebih gah dan hebat menyebabkan kita,dalam tidak sedar, mengagungkan sesuatu yang lain dalam kehidupan ini.

Akibatnya, sikap itu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan kita dan membuka jalan kepada 1001 masalah lain.

Contohnya, apabila kita tidak dapat seperti yang kita impikan, kita dilanda stress melampau kerana merasakan kehidupan di dunia sudah tidak bermakna.

Apabila kita melihat orang lain berjaya, kita jadi cemburu buta dan hidup dalam kebencian dan ketidak-harmonian.

Apabila nak mencapai “redha” manusia, kita berlumba-lumba membuat perkara lagha dan mencari “kebebasan” mengikut tafsiran jahiliah, yang akhirnya merosakkan diri atau mencampakkan diri kita di lembah kemurungan kerana tidak bertemu dengan “kebahagiaan” seperti yang didambakan.

Kunci untuk kembali berpegang kepada asas yang benar adalah kesedaran yang tinggi terhadap hakikat diri kita yang merupakan seorang hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT.

Hidupkan sifat Rabbani dalam diri kita dalam segala aspek yang telah dibincangkan, dan ia akan menjadi panduan kepada kehidupan yang lebih tenang, harmoni dan cemerlang.

Hidupkan sifat rabbaniah dalam diri kita, dan saksikanlah perjalanan diri kita menjadi wanita yang hebat, istimewa, bermaruah dan bertamadun.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button