Berita Utama

Apa niat ‘abang besar’ China ceroboh perairan, udara negara?

Melampau! Adakah Malaysia masih mahu terus bersangka baik

BANGI, 28 Syawal 1442H, Rabu – Adakah Malaysia masih terus mahu bersangka baik dengan China, meskipun sudah berulang kali republik itu cuba menceroboh perairan dan ruang udara negara.

Bekas Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, pencerobohan 16 pesawat China yang mendakwa kononnya mengadakan latihan di ruang udara Malaysia baru-baru ini, adalah tindakan melampau.

Menyifatkannya bukan kes terpencil, beliau berkata, setiap hari dan minggu, perairan negara diceroboh, sama ada dengan kapal perang China mahu pun kapal Pengawal Pantai China (CCG).

“Laporan Ketua Audit Negara, mendedahkan di antara 2016 hingga 2019 sahaja, perairan Malaysia telah dicerobohi sebanyak 89 kali oleh kapal-kapal China.

“Abang besar ada niat sesuatu. Adakah kita mahu terus bersangka baik buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Maritim) Miri mengesahkan sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) dikesan menceroboh perairan Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali yang terletak hanya 84 batu nautika di Pantai Miri.

Pihak berkuasa sebelum ini mengesahkan bahawa CCG pernah mempunyai kapal yang berlabuh di kawasan itu sejak tahun 2013.

Pencerobohan terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button