Berita UtamaDunia

2 bekas perisik Perancis didakwa bocor rahsia kepada China

Salah seorang isteri suspek turut dituduh sembunyi harta diperoleh

PARIS, 13 Zulkaedah 1441H, Ahad – Dua bekas perisik Perancis akan dituduh di mahkamah esok kerana membocorkan rahsia kepada kuasa asing.

Media antarabangsa melaporkan, suspek didakwa bekerja dengan China meskipun pegawai Perancis berusaha mengelak daripada mendedahkan perincian mengenai perkara itu.

Pierre-Marie H dan Henri M didakwa atas tuduhan menyampaikan maklumat kepada kuasa asing dan merosakkan kepentingan asas negara.

Keputusan kes dijangka ditetapkan pada 10 Julai ini.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja di Perkhidmatan Perisikan Asing Perancis di Direktorat Jeneral Keselamatan Luaran (DGSE) – agensi risikan asing Perancis akan berdepan hukuman penjara 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka yang sudah bersara itu didakwa dan ditahan pada Disember 2017, walaupun Pierre-Marie H sudah dibebaskan dengan jaminan.

Selain itu, isteri Pierre-Marie H, Laurence H, turut menerima tempias apabila berdepan perbicaraan kerana ‘menyembunyikan harta diperoleh melalui risikan dengan kuasa asing yang mungkin akan merosakkan kepentingan asas negara’.

Mereka akan diadili oleh hakim professional, memandangkan sifat kes yang sensitif dan ia mungkin akan dibicarakan secara tertutup.

Sementara itu, pegawai Perancis menyifatkan kes itu sebagai sangat serius ketika berita mengenainya didedahkan pada Mei 2018.

Menteri Angkatan Tentera ketika itu, Florence Party berkata, kedua-kedua suspek disyaki melakukan perkara khianat dan mampu mengancam rahsia pertahanan negara.

DGSE mengesan kebocoran maklumat itu dan membentangkan hasilnya kepada pendakwa raya, kementerian pertahanan. Pegawai menjelaskan perincian kes termasuk termasuk negara yang mengambil mereka bekerja.

Bagaimanapun, berdasarkan beberapa laporan media, dua lelaki terbabit dan rakan sekerja di DGSE pada 1990-an bekerja dengan China.

Pada 1997, Henri M dilantik sebagai wakil DGSE di Beijing yang juga Setiausaha Kedua di kedutaan.

Malah, dia dipanggil semula pada awal 1998 selepas mempunyai hubungan sulit dengan penterjemah di Kedutaan China.

Beberapa tahun kemudian, Henri M bersara dan kembali ke China pada 2003 serta berkahwin dengan bekas penterjemah, selain membina rumah di pulau Hainan dekat selatan republik berkenaan.

Pierre-Marie H yang tidak pernah dipindahkan ke luar negara ditahan di Lapangan Terbang Zurich susulan membawa wang tunai, selepas bertemu kenalan China di pulau Lautan Hindi.

Malah, media antarabangsa turut mendapati, kedua-dua lelaki terbabit tiada maklumat bebas lain selain berhubungan dengan China.

Mereka diletakkan di bawah pengawasan untuk beberapa bulan sebelum ditahan, meskipun terdapat banyak maklumat lain yang berlainan mengenai kedua-duanya. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button