20 maut banjir di Jepun
Rakyat disaran berpindah, ada yang enggan bimbang COVID-19
TOKYO, 13 Zulkaedah 1441H, Ahad – Kira-kira 20 orang disahkan mati ekoran banjir di selatan Jepun, hari ini.
Al-Jazeera melaporkan, puluhan penduduk termasuk di rumah jagaan orang tua kini terkandas.
Dilaporkan helikopter penyelamat melakukan operasi untuk mengambil penduduk dari kediaman mereka di wilayah Kumamoto.
Setakat ini, 10,000 pasukan pertahanan, pengawal pantai dan bomba turut serta dalam operasi itu.
Kawasan besar di sepanjang Sungai Kuma dilanda banjir hingga menyebabkan banyak rumah, bangunan dan kenderaan tenggelam hampir hingga ke bumbung mereka.
Di sebuah rumah jagaan orang tua Kampung Kuma, 14 penduduk dilaporkan mati, kata para pegawai. Tiga yang lain menghidap hipotermia.
Operasi menyelamat diteruskan pada hari ini bagi puluhan penduduk dan pengasuh lain yang masih berada di pusat rawatan di sungai Senjuen, di mana kira-kira 60 orang terperangkap ketika air banjir dan lumpur masuk, kata para pegawai.
“Air naik ke tingkat dua begitu cepat dan saya tidak dapat berhenti menggigil,” kata seorang wanita berusia 55 tahun yang mengunjungi saudara.
Lebih daripada 75,000 penduduk di wilayah Kumamoto dan Kagoshima didesak untuk berpindah berikutan hujan lebat pada petang Jumaat hingga Sabtu.
Pemindahan itu tidak wajib dan banyak orang memilih untuk tinggal di rumah kerana kebimbangan mengenai penularan coronavirus, walaupun para pegawai mengatakan tempat perlindungan dilengkapi dengan kemudahan dan langkah keselamatan lain.
Banjir itu juga memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi, seterusnya menunda pencarian dan penyelamatan.
Hampir 6,000 rumah di Kumamoto masih tidak mempunyai bekalan elektrik pada hari Ahad, menurut Kyushu Electric Power Co. – Agensi