COVID-19 di Afrika Selatan terus menular, lebih 10 ribu kes dalam 24 jam
AS negara paling terjejas rekod 129,584 kematian, diikuti Brazil 63,174
CAPE TOWN, 13 Zulkaedah 1441H, Ahad – Wabak COVID-19 di Afrika Selatan terus menular dengan cepat apabila merekodkan jumlah kes tertinggi di benua itu setakat semalam.
Dalam tempoh 24 jam, 10,853 kes baharu COVID-19 direkodkan – jumlah harian tertinggi di negara itu, menjadikan kumulatif kes 187,977.
Afrika Selatan turut merekodkan 74 kematian baharu dalam sehari dan 3,026 kematian untuk jumlah keseluruhan.
Kementerian Kesihatan menjangkakan peningkatan kes akan berlaku selepas kerajaan melonggarkan perintah berkurung yang dikuat kuasa sejak 27 Mac.
Presiden, Cyril Ramaphosa memberitahu, ekonomi negara diunjurkan menyusut lebih tujuh peratus pada tahun ini akibat kesan penularan pandemik – terburuk dalam tempoh 90 tahun
“Apa yang ingin kami lakukan adalah menyeimbangkan serta menyelamatkan nyawa rakyat kami,” katanya.
Sementara itu, di peringkat global Amerika Syarikat (AS) terus mendominasi kedudukan senarai negara terjejas teruk apabila merekodkan 129,584 kematian daripada 2,818,588 kes.
Manakala, Brazil yang berada di belakang AS mencatatkan 63,174 kematian daripada 1,539,081 kes; United Kingdom mencatatkan 44,198 kematian daripada 284,900 kes; Itali pula 34,854 kematian daripada 241,419 kes. – Agensi