Berita Utama

Jangan terpengaruh! Kristian Evangelis sentiasa cari jalan sebar dakyah

Kaji semula kelulusan penerbitan buku Lakukan Apa yang Benar: Satu Panduan Perundangan yang Praktikal untuk Gereja-gereja di Malaysia

BANGI, 13 Zulkaedah 1441H, Ahad – Umat Islam diminta lebih berwaspada dengan gerakan Kristian Evangelis yang sentiasa mencari jalan untuk menyebarkan dakyah mereka.

Terdahulu, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff mengatakan anggapannya bahawa keagresifan pendakyah Kristian di Malaysia adalah benar, selepas beliau membaca buku bertajuk Lakukan Apa yang Benar: Satu Panduan Perundangan yang Praktikal untuk Gereja-gereja di Malaysia.

Katanya, kandungan buku berkenaan seolah-olah menyimpulkan bahawa pendakyah Kristian di Malaysia tidak berpuas hati dengan kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas mereka, untuk mendakyahkan agama Kristian kepada umat Islam.

Selain itu, ia turut menggambarkan pendakyah Kristian di Malaysia berpendirian bahawa enakmen-enakmen yang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dr Kamarul berkata, keagresifan mereka tidak terhad dalam isu penyebaran agama sahaja kerana enakmen-enakmen yang menghalang kalimat dan ekspresi, yang dikhususkan kepada umat Islam dari digunakan oleh orang bukan Islam juga turut dipersoalkan oleh mereka.

Tegas buku ini: “Sebagaimana yang telah dibahaskan dalam bab mengenai penukaran agama, adalah disarankan bahawa undang-undang yang melarang penggunaan istilah-istilah dalam Bahasa Melayu mungkin bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,’.

Tambah buku ini lagi: “Tambahan pula, larangan mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai media pengajaran di gereja juga bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membuat Bahasa Melayu sebagai satu subjek wajib di semua sekolah rendah dan menengah,”.

Mengulas mengenai buku berkenaan, Ketua Setiausaha Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi berkata, ia seperti menunjukkan Kristian Evangelis cuba menggunakan Perlembagaan Persekutuan bagi mengabsahkan usaha mereka menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam.

Sebagai rakyat yang menjunjung tinggi kedaulatan Perlembagaan, beliau meminta pihak berkuasa mengkaji semula penerbitan buku berkenaan.

“Kaji balik kelulusan penerbitan buku tersebut dan semua buku lain yang dianggap mengancam kedudukan  Islam dalam Perlembagaan.

“Semoga umat Islam di Malaysia tidak terpengaruh dengan jarum halus gerakan Kristianisasi,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Azib percaya isu berkenaan tampak lebih ketara apabila kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini dianggap terlalu liberal serta memperjuangkan hak kebebasan yang keterlaluan.

“Mereka semakin lebih berani dan bergerak seperti dilindungi undang-undang. Mana tidaknya, ramai dari kalangan menteri dari DAP merupakan Kristian Evangelis.

“Jadi, kita gesa kerajaan Perikatan Nasional supaya bertindak lebih berani dan tegas dalam menjaga kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

https://ismaweb.net/2020/07/03/agresifnya-pendakyah-kristian-di-malaysia1/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button