Dunia

COVID-19: Arab Saudi hadkan 1,000 jemaah haji tahun ini

Penjarakan sosial 1.5 meter, selain wajibkan pakai pelitup muka

KAHERAH, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Arab Saudi melarang perhimpunan dan pertemuan dalam kalangan jemaah sebagai protokol kesihatan bagi membendung penularan COVID-19 pada musim haji tahun ini.

Jun lalu, Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah haji kepada 1,000 orang bagi mengekang penularan virus itu dan memutuskan untuk tidak membenarkan umat Islam dari negara luar menunaikan ibadah haji tahun ini.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) dalam kenyataan menegaskan, amalan menyentuh Kaabah tidak dibenarkan.

Jarak sosial 1.5 meter antara jemaah perlu dipatuhi sepanjang masa ketika menunaikan ibadah, termasuk apabila solat berjemaah.

Selain itu, akses untuk menunaikan haji di Mina, Muzdalifah dan Arafah dihadkan kepada pemegang permit haji mulai Ahad depan hingga 2 Ogos ini.

Jemaah dan penganjur juga diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang menunaikan ibadah haji.

Sementara itu di Makkah, Datuk Bandar, Mohammed Abdullah Al-Quwaihis, mempengerusikan mesyuarat secara maya semalam bagi membincangkan perancangan musim haji tahun ini termasuk tindakan bagi pusat layanan di lapangan.

Beliau berkata, Arab Saudi di bawah naungan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman, sudah menggerakkan semua sumber manusia serta kewangan untuk menunaikan haji.

Malah, keputusan Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah yang berada di negara itu menunaikan haji turut mendapat sokongan daripada pelbagai negara.

Liga Arab turut menyambut baik pengumuman Arab Saudi dan mengatakan ia satu keputusan bijak untuk menjaga kesihatan serta keselamatan jemaah ketika wabak itu melanda seluruh dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button