Berita Utama

COVID-19: Laporan Al Jazeera tidak tepat

Permulaan hinga akhir laporan itu tak baik, burukkan Malaysia

MELAKA, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kononnya Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin ketika menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik COVID-19 adalah tidak tepat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ketika menegaskan perkara itu berkata laporan agensi media asing itu tidak menggambarkan pengurusan menangani COVID-19 yang sebenar oleh kerajaan Malaysia, malah memberikan imej yang buruk kepada negara ini.

“Permulaan dan pengakhiran laporan itu pada saya tidak baik bahkan meninggalkan imej buruk buat Malaysia. Saya fikir ayat pertama sebut ‘racism’ (perkauman) bila menutup pun dengan nama sama mengenai ‘racism’. Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama, secara umum diketahui negara yang aman.

“Ia bukan seperti digambarkan oleh Al Jazeera, saya memang tidak berminat apabila dia (laporan itu) bermula kemudian menutup dengan itu (racism) seolah-olah menunjukkan keadaan kita teruk, itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Khas Negeri Melaka/Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Jabatan Penyiaran Melaka di sini.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Penyiaran Nor Yahati Awang turut menghadiri mesyuarat tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button