Berita Utama

COVID-19: Peniaga jual maklumat, data peribadi tak selamat?

Jual kepada ejen jualan tanpa kebenaran untuk promosi produk

BANGI, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pensyarah Kanan Jabatan Media dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kamaruzzaman Abdul Manan meluahkan, rasa bimbang apabila maklumat peribadi yang diberikan sama ada secara manual atau melalui aplikasi dalam talian sebelum memasuki premis perniagaan disalah guna.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, ramai yang mula menerima mesej dan panggilan telefon dari peniaga yang ingin mempromosikan produk mereka.

Katanya, menerusi pertanyaan dengan seorang ejen jualan yang menghubunginya untuk mempromosikan produk, pihak berkenaan memaklumkan bahawa maklumat peribadinya dibeli dari peniaga rekod COVID-19.

“Pendedahan ini amat mengejutkan. Lebih merisaukan, maklumat peribadi itu turut diberikan kepada banyak peniaga atau premis dikunjungi sepanjang tempoh PKP.

“Justeru, timbul persoalan sejauh manakah tahap keselamatan data peribadi rakyat jika ia cenderung untuk disalah guna,” katanya dalam artikel yang disiarkan BHOnline, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata, dalam normal baharu yang mewajibkan pendaftaran maklumat, pelanggan tiada pilihan melainkan memberikan maklumat mereka secara rela atau paksa rela.

Sehubungan itu, katanya, bagi menjamin keselamatan data peribadi pelanggan, kerajaan perlu mewajibkan semua premis perniagaan menggunakan aplikasi MySejahtera, bukan merekodkan maklumat pelanggan secara manual atau menggunakan sistem berlainan.

“Jika maklumat peribadi terpaksa direkodkan selain menggunakan aplikasi MySejahtera, data terbabit perlu disimpan rapi. Data perlu diserahkan kepada pihak bertanggungjawab setiap satu atau dua bulan.

“Ia penting bagi memastikan semua maklumat diambil selamat dan hanya digunakan untuk pengesanan semula kontak rapat apabila berlakunya jangkitan COVID-19,” tegasnya.

Sementara kepada peniaga yang mengumpul data peribadi pelanggan, beliau memberi peringatan agar menjadi pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap data dikumpul itu selamat.

“Data terbabit bukan milik anda, sebaliknya ia amanah yang perlu dijaga dengan baik. Anda tidak mempunyai hak untuk berkongsi atau menjualnya kepada sesiapa.

“Peniaga yang melakukan pencerobohan data boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

“Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kamaruzzaman turut menggesa, masyarakat untuk memainkan peranan lebih proaktif dengan melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya mengesyaki data mereka diceroboh. 

“Aduan boleh dibuat kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh layari laman https://www.pdp.gov.my/jpdpv2 (https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/)/ atau menghubungi talian 03-8000 8000 atau melalui emel kepada [email protected],” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button