Berita Utama

Gangguan bekalan air babit 420,000 pemilik akaun Selasa depan

Tempoh masa gangguan, pemulihan berbeza ikut kawasan

KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Sebanyak 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual dari 14 hingga 17 Julai ini.

Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah berkata, gangguan itu berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3.

Kerja itu merangkumi penggantian beberapa rangkaian injap utama untuk meningkatkan kecekapan sistem dan membolehkan LRA beroperasi dengan lebih baik.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air juga berbeza mengikut kawasan, lokasi geografi dan tahap ketinggian premis pelanggan.

“Pemulihan bekalan air ke kawasan terbabit akan bermula pada 15 Julai (9 pagi) dan kita juga membuat anggaran bahawa 48 peratus daripada semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air sebelum 16 Julai (9 pagi),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

“Sebanyak 80 peratus kawasan yang terlibat (akan pulih) pada 17 Julai (9 pagi). Pemulihan bekalan air sepenuhnya dijangka pada hari yang sama pada jam 5 petang,” kata beliau.

Abas berkata, Air Selangor juga akan menggerakkan 91 lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Kita juga akan membuka lapan pusat khidmat setempat (PKS) dan menyediakan enam pili air awam dari 16 dan17 Julai untuk membantu pelanggan yang terjejas,” katanya.

Senarai lengkap kawasan terjejas dan waktu pemulihan bekalan air, lokasi PKS, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh dirujuk di laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close