Berita Utama

Ismail Sabri jawab tuduhan Al Jazeera hari ini

Perkara disahkan Dr Noor Hisham namun enggan ulas lanjut

BANGI, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menjawab tuduhan buruk agensi berita asing yang mendakwa, Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin (PATI) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi Ismaweb.net sebentar tadi.

“PC (Sidang Media) jam 2 petang hari ini Datuk Ismail Sabri akan jawab semua soalan,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berkenaan isu tersebut apabila ditanya tentang pandangan peribadinya.

Terdahulu, agensi berita Al Jazeera dalam laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” mendakwa, berlaku diskriminasi terhadap PATI, dari segi layanan ketika Malaysia menguatkuasakan PKP bagi menangani COVID-19.

Video laporan berdurasi 20.25 minit itu mendapat cemuhan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang kemudian mengulas laporan berkenaan berkata, dakwaan diskriminasi terhadap PATI tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan PKP untuk menyelamatkan orang ramai daripada COVID-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.

“Laporan Al Jazeera yang menyebut berlaku diskriminasi adalah satu tuduhan yang tidak betul. Menyelamatkan warganegara atau bukan warganegara merupakan satu tindakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) bagi menangani wabak COVID-19.

“Jadi, kita perlu pastikan semua yang dikesan dapat disaring dan diasingkan,” katanya.

PAUTAN BERKAITAN: https://www.aljazeera.com/programmes/101east/2020/07/locked-malaysia-lockdown-200702104523280.html

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close