Berita UtamaDunia

Israel buru pejuang Hamas, hantar pesawat ledakkan bom

Turut serang guna helikopter sasar 'infrastruktur bawah tanah'

GAZA, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pesawat tempur negara haram Israel dilaporkan, melancarkan serangan udara terbaharu di Semenanjung Gaza, dengan mengebom lokasi di sebelah Timur kawasan yang dikepung.

Tentera rejim Zionis mendakwa, pesawat perang dan helikopter mereka menyerang kedudukan kumpulan pejuang Hamas, di Semenanjung Gaza pada lewat malam tadi.

Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa, kubu Hamas yang diserang pesawat perang termasuk ‘infrastruktur bawah tanah’.

Jurucakap itu juga mendakwa, serangan itu adalah reaksi terhadap tiga roket yang didakwa ditembak dari kawasan terkepung di bahagian Selatan wilayah yang diduduki.

Bagaimanapun, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Selain itu, sehingga kini tiada laporan segera mengenai angka korban yang disebabkan oleh serangan udara Israel.

Serangan berkenaan muncul ketika Hamas meminta kumpulan Palestin lain di Tebing Barat yang diduduki untuk bersama-sama menentang penjajahan Israel.

Seorang pemimpin kanan Hamas meminta, kumpulan Palestin lain di kawasan itu untuk berganding bahu dan memulakan perjuangan bersenjata menentang penjajahan rejim Zionis.

Bercakap dengan saluran TV Lubnan Al Mayadeen pada hari Khamis, pengasas bersama Hamas dan anggota kepemimpinan kumpulan itu, Mahmoud al-Zahar mengatakan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mesti berhenti melaksanakan Perjanjian Oslo dengan rejim Israel, dan mengangkat senjata terhadap penjajah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button