Berita Utama

Suhakam makin celaru, hilang arah pertahan himpunan ‘Keluar dan #Lawan’

Bela mereka yang berhimpun dan protes atas nama hak asasi secara membuta tuli

BANGI, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Sebelum ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersungguh-sungguh mempertahankan pekerja seks, kali ini sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menggesa pihak polis menghentikan siasatan dan dakwaan kepada sesiapa yang menyertai Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’.

Alasan yang diberikan langsung tidak masuk akal, kononnya Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ atau baju hitam yang dianjurkan Sekretariat Solidariti Rakyat di Kuala Lumpur Sabtu lalu hanya melaksanakan hak asasi itu semata-mata.

Makin celaru, Suhakam sebagai sebuah suruhanjaya kerajaan (bawah kuasa Menteri Undang-Undang) kini menunjukkan betapa hilangnya arah tuju mereka untuk berfungsi ke arah kesejahteraan rakyat dengan makna sebenar hak asasi.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sepatutnya hak asasi manusia adalah berpandu dan selari kepada kesejahteraan orang sekeliling, ini sebaliknya berlaku.

Apatah lagi apabila ianya boleh mengancam nyawa seluruh rakyat tatkala penularan wabak COVID-19 yang sedang menggila ini berlaku.

“Mereka tiba-tiba muncul membela hak sekelompok manusia untuk berhimpun dan protes atas nama hak asasi secara membuta tuli.

“Betapa pentingnya berhimpun ketika PKP bagi mereka ialah sehingga tahap mereka menghantar petugas-petugas Suhakam untuk memantau perjalanan himpunan agar hak berhimpun tidak diganggu. Lebih-lebih lagi, ada Pesuruhjaya Suhakam sendiri turun padang pada hari itu.

“Neraca Islam sentiasa menekankan aspek pertanggungjawaban kerana memang lumrah manusia yang hidup bermasyarakat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu juga, Haji Aminuddin membangkitkan persoalan sama ada ada pihak penganjur perhimpunan berkenaan serta Suhakam akan bertanggungjawab sekiranya wabak menular berikutan himpunan itu.

“Atau jika timbul lebih banyak penganjuran perhimpunan dan tertularnya wabak dengan kluster-kluster baharu hanya kerana perasaan ‘Suhakam akan membela aku’, apakah Suhakam akan bertanggungjawab?

“Saya rasa tidak, kerana saya yakin istilah ‘tanggungjawab’ tidak ada dalam kamus kehidupan mereka. Hak asasi pelacur pun mereka pertahan bersungguh-sungguh, setakat hak asasi ‘berhimpun ketika PKP’ apalah sangat bagi mereka,” katanya.

Suhakam minta polis henti siasat peserta ‘Keluar dan #Lawan’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button