Berita Utama

Ke mana hilang maruah pegawai tinggi seludup migran?

Tindakan cetus masalah keselamatan, beri kesan kepada ekonomi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Tindakan seorang pegawai berpangkat tinggi terlibat dalam kes penyeludupan migran ke negara ini merupakan satu tindakan tidak bermaruah.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja akan menyebabkan masalah keselamatan, malah boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Berikutan itu, beliau mengingatkan penjawat awam lain khususnya yang berpangkat tinggi supaya mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku.

“Tapi apa-apa pun dalam kes ini pihak polis yang membuat siasatan. Ia wajar dijadikan pengajaran kepada pihak agensi penguatkuasaan yang lain supaya tidak terlibat dalam apa juga kegiatan penyeludupan terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, seorang Penolong Pengarah Imigresen yang bertugas di salah sebuah kompleks imigresen Johor Bahru ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan migran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pegawai kanan berumur 50 tahun itu ditahan di tempat tugasnya oleh anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, sebagai lanjutan kepada penahanan tiga pegawai imigresen pada 23 Jun lepas, yang dipercayai terbabit dalam kes sama.

Difahamkan, modus operandi suspek adalah dengan menyediakan cop imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang telah tamat tempoh pas lawatan sosial (PLS) sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan.

Pada masa sama, Shahul Hamid berkata, rakyat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberikan maklumat bagi ‘menghapuskan’ kehadiran PATI di negara ini.

“Itu peranan mereka. Masyarakat tidak perlu meletakkan kesalahan dan bertindak menghukum sesuatu agensi itu. Ada juga yang berpandangan agensi itu yang lemah.

“Bukan agensi itu, tetapi segelintir pegawai sahaja, yang lain tetap menjalankan tugas dengan penuh berdedikasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button