Berita Utama

Peguam kanan Persekutuan didakwa minta rasuah

Namun mengaku tak bersalah ke atas 2 pertuduhan dibacakan

BUTTERWORTH, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Seorang peguam kanan persekutuan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sini atas dua pertuduhan meminta rasuah pada Mac dan Jun lepas.

Lim Cheah Yit, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta sendiri suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada Goh Kim Heong sebagai suatu dorongan untuk mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang bagi menuduh Chan Eng Leong di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 801, sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon pada 8 Mac, kira-kira pukul 7 malam.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah meminta sendiri suatu suapan iaitu wang tunai RM100,000 daripada Goh sebagai suatu upah supaya melakukan perkara untuk mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang bagi menuduh Chan di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di AC Hotel Penang, 213 Jalan Bukit Jambul pada 1 Jun, lebih kurang pukul 12.19 tengah hari.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairos Danial Mazlan menawarkan jumlah jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Lim, Ang Chun Pun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh merupakan pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan tiada alasan untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

Hakim Noor Aini turut menetapkan tarikh 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close