Berita Utama

Risiko dibatal pas imigresen jika keluar kenyataan tak tepat

Warga asing diminta hati-hati keluarkan sebarang kenyataan

KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran keras akan membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan kepada warga asing sekiranya mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, meminta pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata laporan mengenai operasi JIM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkan agensi berita antarabangsa itu sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lepas telah memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah yang ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga telah memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close