Berita Utama

Peningkatan kadar OPR selepas ini bergantung perkembangan ekonomi negara

Meski peningkatan OPR jejaskan peminjam, namun ia dorong pulangan deposit lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, langkah meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini kepada 2.00 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus adalah untuk menghindarkan akomodatif yang berlebihan dalam dasar monetari.

Berikutan itu, katanya, sebarang peningkatan selepas ini akan bergantung kepada sejauh mana keutuhan ekonomi negara berkembang dan kesan kepada inflasi.

Beliau berkata, lebihan kapasiti akan berterusan, justeru dasar monetari perlu kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Tahap paras kenaikan kadar (OPR) akan bergantung kepada sejauh mana keutuhan ekonomi berkembang dan kesan kepada inflasi,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Nor Shamsiah menjelaskan, pengurangan tahap akomodatif monetari itu adalah susulan pertumbuhan dalam negeri yang lebih kukuh.

Beliau berkata, ia akan dilakukan secara terukur dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Katanya lagi, sebarang pelarasan kadar itu akan memberi kesan kepada pendeposit dan peminjam.

“Meskipun OPR yang lebih tinggi mungkin menjejaskan peminjam dari segi pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, namun ia juga mendorong pulangan deposit lebih tinggi.

“Pulangan deposit yang tinggi akan menggalakkan individu menyimpan untuk membina penampan kewangan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button