Berita Utama

Tak beretika, Al Jazeera diminta mohon maaf segera

Laporan berniat tak baik, mengelirukan tanpa fakta tidak jelas

BANGI, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Laporan Al Jazeera yang mendakwa, Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tak wajar, berniat tidak baik serta mengelirukan tanpa fakta tidak jelas.

Menyangkal dakwaan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PATI, rakyat Malaysia dan warga asing dengan dokumen sah pada mulanya telah dikurung bersama di depoh tahanan di Selangor Mansion bagi mengawal COVID-19, di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, PKPD turut dikuatkuasakan di kawasan lain termasuk di pusat tahfiz, madrasah dan serta beberapa perkampungan di Hulu Langat, Selangor.

Jelas beliau, tindakan itu bukan sahaja terhad kepada warga asing, malah turut membabitkan rakyat Malaysia dengan kawalan kawad berduri.

“Ini bagi memastikan tiada sesiapa dapat keluar daripada kawasan (PKPD) itu dan tiada individu daripada luar yang boleh masuk ke dalam. Kita mahu pastikan mereka diselamatkan daripada penularan sesama mereka dan juga diselamatkan daripada penularan luar.

“Setiap individu dalam kurungan PKPD dibuat saringan termasuk PATI. Kerajaan juga tanggung kos saringan ke atas mereka.

“Jadi, tidak betul dakwaan layanan tidak adil ke atas mereka (PATI), kerana mereka dikurung berdasarkan SOP (Standard Operasi Prosedur) dan polisi yang dikuatkuasakan kepada sesiapa sahaja termasuk rakyat Malaysia,” katanya ketika bercakap pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Al Jazeera dalam laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mendakwa, berlaku diskriminasi terhadap PATI, dari segi layanan ketika Malaysia menguatkuasakan PKP bagi menangani COVID-19.

Video laporan berdurasi 20.25 minit itu mendapat cemuhan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan Malaysia memberi layanan yang sama kepada kedua-dua kategori warga asing, sama ada mereka ada yang sah mahupun tiada dokumen perjalanan.

Beliau berkata, seramai 68,829 warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah telah disaring dan 2,579 daripadanya yang positif COVID-19 telah dirawat di hospital.

“Manakala yang tidak mempunyai dokumen, yang ditahan di depoh-depoh tahanan itu kita tak biarkan mereka sakit dan meninggal dunia di dalamnya. Kita bantu dan saring mereka.

“Sebanyak empat depoh tahanan yang mempunyai kes positif COVID-19 di kalangan tahanan PATI. Seramai 4,924 daripada mereka telah pun disaring dan 777 daripadanya didapati telah positif.

“Mereka yang positif dirawat di tempat khas iaitu di Pusat Expo di Maeps, Serdang. Kita bawa dan rawat mereka sehingga sembuh sebelum dihantar pulang ke depoh tahanan, seterusnya ke tempat asal mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan, warga asing yang tiada dokumen perjalanan sah namun telah sembuh daripada COVID-19 masih lagi berstatus PATI.

Katanya, meskipun mereka negatif COVID-19, ia bukan bermakna PATI berkenaan bebas berkeliaran di negara ini.

“Ini kerana mereka berstatus tidak sah dan akan dilayan seperti tidak sah, misalnya mereka tidak boleh bebas berkeliaran seperti orang lain untuk bebas bekerja dan sebagainya,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ismail Sabri turut menyanggah tuduhan Al Jazeera bahawa golongan kanak-kanak telah digari ketika berada di pusat tahanan.

Menyifatkan pemberita berkenaan tidak beretika dalam menyediakan laporan, beliau menegaskan bahawa kanak-kanak yang berada di pusat tahanan telah diasingkan bersama-sama ibu bapa mereka di tempat khas dan tidak dicampurkan bersama tahanan-tahanan lain.

“Ini fakta sebenar, tetapi Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar sebaliknya atas niat kurang baik ke atas Malaysia, maka perkara tidak betul dilaporkan dengan menuduh Malaysia rasis dan sebagainya.

“Justeru, saya menggesa Al Jazeera sebagai sebuah agensi yang mempunyai etika kewartawanan tinggi supaya menghentikan tindakan yang mereka lakukan ini serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button