Berita Utama

1 lagi kes JE di Pulau Pinang

Dapatkan rawatan segera jika demam, tanda-tanda penyakit JE

GEORGE TOWN, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Satu lagi kes baharu Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan daerah Barat Daya, menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

Menurut kenyataan berkenaan, selain kes baharu itu dua lagi kes sebelum ini di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) membabitkan dua kanak-kanak telah disahkan melalui ujian makmal.

Namun, kenyataan itu tidak memperincikan maklumat mangsa baharu yang disahkan JE di daerah Barat Daya.

“Di Pulau Pinang, bagi tempoh Januari hingga 7 Julai (Minggu Epid 27) sebanyak tiga kes positif JE yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan ke (JKN) Pulau Pinang, sebanyak dua kes telah dilaporkan di SPS manakala kes baharu di daerah Barat Daya.

“Terdapat tiga lagi kes disyaki JE yang telah dilaporkan ke JKN Pulau Pinang namun (JKN Pulau Pinang) masih perlu menunggu keputusan ujian pengesahan daripada makmal (bagi mengesahkan kes),” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, memandangkan penyakit tersebut disebarkan melalui gigitan nyamuk culex, kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan larvasiding dan semburan kabus akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan juga nyamuk dewasa.

JKN Pulau Pinang turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi.

Selain itu, orang ramai diminta mengambil langkah-langkah bagi menghentikan penularan penyakit JE antaranya melakukan pemeriksaan di dalam rumah dan kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Selain itu, orang ramai diminta untuk menjalankan gotong-royong pembersihan di kawasan rumah sendiri dan sekitar sambil mengamalkan prinsip 3S iaitu elakkan sesak, sempit serta sembang secara dekat bagi menghapuskan bekas atau tempat berpotensi pembiakan nyamuk,” katanya.

Pada 27 Jun lepas, dua kes JE yang dilaporkan di SPS membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), kedua-duanya dalam keadaan stabil. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close