Berita Utama

DAP guna alasan budaya majmuk tentang pemerkasaan Islam?

Jika dukung Perlembagaan, Kor Ming patut sokong pengasingan jantina di pawagam

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Gesaan pemimpin parti tamak haloba DAP, Nga Kor Ming berhubung isu pengasingan jantina di pawagam Terengganu jelas dangkal dan tergesa-gesa tanpa meneliti terlebih dahulu Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri berkenaan. 

Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Terengganu, Kamarul Azizan Abd Raman berkata, berdasarkan garis panduan itu, terdapat subtopik khusus mengenai pelaksanaan terhadap golongan bukan Islam, di mana mereka tidak dipaksa mengikut kebudayaan Islam, sebaliknya digalakkan untuk turut meraikannya. 

Kor Ming sebelum ini menggesa menggesa Kerajaan Pusat campur tangan isu pengasingan jantina di pawagam Terengganu, kononnya atas alasan kemajmukan budaya di Malaysia selain menyifatkan usaha itu akan memberikan imej buruk kepada negeri berkenaan.

Membidas dakwaan itu, Kamarul berkata, jika benar alasan berkenaan dijadikan asas kepada desakan Kor Ming, sepatutnya sebagai pendukung Perlembagaan – di mana Islam adalah agama Persekutuan – sudah tentu dia menghormati sensitiviti budaya Islam serta mengambil berat mengenai pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. 

“Namun, mudah untuk kita perhatikan gelagat DAP yang hanya menilai apa juga isu dalam konteks melindungi kepentingan kaum dan agama mereka sahaja dengan menolak ketepi sensitiviti agama Islam yang merupakan majoriti penduduk di Malaysia. 

“Sekiranya kita tidak melihat kepada aspek sensitiviti dan budaya Islam sekali pun, secara fitrah dan logiknya budaya pergaulan bebas yang melampau antara lelaki dan perempuan akan menatijahkan kesan masalah sosial khususnya kepada golongan muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau turut membidas dakwaan Kor Ming yang mengaitkan pelaksanaan garis panduan itu dengan aktiviti riadah keluarga, kononnya akan mengasingkan pasangan berkahwin serta ibu bapa dan anak.

“Sedangkan di bawah subtopik Pawagam Perkara (4) dalam Garis Panduan tersebut menyatakan bahawa tempat duduk penonton lelaki dan wanita hendaklah diasingkan mengikut tiga lokasi. 

“Lokasi lelaki untuk semua individu atau kumpulan penonton lelaki sahaja, lokasi wanita untuk semua individu atau kumpulan penonton wanita sahaja dan lokasi keluarga untuk pasangan isteri atau mahram,” katanya. 

Katanya, klausa itu dengan jelas menolak prejudis Kor Ming yang berimaginasi dengan larangan direka-reka terhadap pelaksanaan garis panduan berkenaan. 

Beliau berkata, ia hanyalah provokasi bagi menakut-nakutkan orang ramai, khususnya golongan bukan Islam sama ada dilakukan dengan tidak cermat atau menyembunyikan fakta sebenar. 

“Kor Ming mengaitkan tindakan kerajaan Terengganu sebagai berundur ke belakang, walhal pendirian dia dan DAP terhadap isu arak yang telah meragut banyak nyawa tidak berdosa adalah lebih jauh berundur ke belakang. 

“Akhirnya, jika dilihat ‘trend’ kenyataan yang dikeluarkan DAP ini kita dapat melihat sejauh mana mereka berusaha kuat untuk menentang apa juga pemerkasaan terhadap kedudukan Islam dan cuba memberi gambaran salah terhadap Islam atas alasan seperti kemajmukan budaya dan lain-lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close