Berita Utama

Barat-AS pendukung aparteid selagi sokong tindakan keji Israel

Jenayah perang terhadap Palestin tanpa henti sepanjang tujuh dekad

BANGI, 24 Rabiulawal 1445H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kuasa Barat dan Amerika Syarikat (AS) adalah pendukung aparteid, pembunuhan besar-besaran dan jenayah terhadap kemanusiaan selagi mereka menyokong perbuatan keji rejim Israel di Palestin.

Beliau juga menyifatkan permusuhan lebih tujuh dekad di wilayah itu tidak akan berakhir berikutan reaksi kuasa besar Barat dan sekutunya, termasuk media adalah sangat ekstrem, taksub serta hipokrit.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, daripada menjelaskan sebab sebenar konflik berlaku, Barat memilih meneruskan naratif palsu bahawa serangan ke atas Israel dibuat oleh pengganas, yang jelas ditujukan kepada Hamas, Hizbullah dan Iran.

“Dengan naratif sedemikian, mereka semai ketakutan dalam kalangan komuniti Barat, mendakwa ianya adalah serangan ke atas demokrasi dan manusia yang cintakan keamanan.

“Dengan itu, Amerika Syarikat menghalalkan bantuan ketenteraan kepada Israel untuk membalas serangan Palestin. Kesemua ini menyimpang jauh dari kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Mengungkap kebenaran sebenar, Dr Mahathir berkata, berdekad lamanya Israel melakukan jenayah perang, penyembelihan, pembunuhan besar-besaran dan kekejaman di luar akal manusia terhadap rakyat Palestin.

Tegasnya, tindakan itu bukanlah dilakukan hanya sekali lalu, sebaliknya dilaksana secara sistematik tanpa henti sepanjang tujuh dekad.

“Selain tanah Palestin yang dirampas Israel secara haram melalui perjanjian sehala dan perjanjian bersama bekas penjajah Palestin, pendatang Israel turut merampas tanah dan ladang milik Palestin secara paksa.

“Rakyat Palestin diusir keluar dari tanah mereka dan apa saja usaha untuk tuntut semula dari pihak berkuasa Israel dibalas dengan kekerasan dan disokong oleh pasukan keselamatan Israel, Israel Defence Forces (IDF),” katanya.

Bahkan, rakyat Palestin teruk ditekan, manakala wilayah Semenanjung Gaza dijadikan penjara terbuka.

Beliau berkata, apabila sesekali Palestin membuat serangan balas, mereka akan berdepan kekuatan penuh IDF yang dibekalkan senjata daripada kuasa besar khususnya AS.

“Episod kali ini tiada bezanya dari tindak balas Palestin sebelumnya melainkan kali ini lebih berfokus dan mendapat sedikit bantuan luar.

“Tetapi kuasa Barat dan sekutunya berterusan berbohong dengan naratif kononnya pertembungan ini adalah perbuatan yang dilaku pengganas, dengan mengabaikan fakta bahawa serangan ini dibuat oleh satu bangsa yang kebebasan mereka dicabuli dan hak ke atas tanah milik mereka dirampas secara paksa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kuasa Barat menolak pandangan bahawa serangan ini dibuat oleh perjuangan kemerdekaan yang melawan ketidakadilan rejim aparteid, yang terbabit dalam pembunuhan besar-besaran ke atas rakyat Palestin.

“Dengan itu, segala cubaan mencari titik tengah dan keadilan untuk Palestin menjadi satu usaha yang sia-sia.

“Di waktu yang sama, kita boleh menjangka Israel akan terus bebas melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button