Berita Utama

Gesa kerajaan ambil tindakan undang-undang saman Al Jazeera

Tuntut Al Jazeera perbetul semula laporan yang telah dimanipulasi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa Al Jazeera kerana bertindak melampau memburukkan imej Malaysia termasuk menuduh negara bersikap diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI). 

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Norsaleha Mohd Salleh percaya penerbitan dokumentari ‘Locked Up in Malaysia Lockdown’ yang disiarkan pada 3 Julai itu seperti dirancang untuk menggambarkan Malaysia menindas PATI berikutan dari awal hingga akhir, laporannya jelas bias dan tidak adil. 

Katanya, jika tidak dirancang, masakan agensi berita antarabangsa itu hanya menumpukan laporan sebelah pihak – iaitu PATI – tanpa mengambil kira penjelasan dan usaha daripada Kerajaan Malaysia menangani pandemik COVID-19.  

Apatah lagi, dalam keadaan politik negara yang masih tidak stabil dan dunia kini menghormati dengan cara Malaysia membendung penularan COVID-19, tidak mustahil Al-Jazeera menjadi peranan serta alat kepada pihak lain untuk memburukkan negara, katanya. 

“Pada saya, dokumentari itu sangat tidak adil, kerana kerajaan tidak zalim, bahkan warga asing sama ada yang sah atau haram masih dijaga kebajikan mereka ketika negara sedang berperang melawan COVID-19. 

“Malah, apa yang dilakukan kerajaan ke atas PATI juga adalah prosedur umum yang juga dilaksanakan oleh semua negara, dan bukan hanya Malaysia sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dokumentari agensi berita antarabangsa itu mendapat cemuhan rakyat yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Kesal dengan laporan itu, Dr Norsaleha menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang menyaman agensi berita berkenaan.

Selain itu, kita menuntut Al Jazeera memperbetulkan semula laporan yang telah dimanipulasi dan memadamkan video yang disiar dengan kadar segera.

“Kita juga minta Al Jazeera bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam membuat laporan dan menggambarkan seolah-olah Kerajaan Malaysia melayan PATI secara zalim dan tidak berperi kemanusiaan. 

“Saya juga menggesa rakyat Malaysia untuk menolak Al Jazeera dan bersatu mempertahankan maruah negara kita daripada pihak luar yang cuba menjatuhkan Malaysia di mata dunia,” katanya. 

Setakat ini, polis mengesahkan sudah menerima lima laporan dan telah mengenal pasti beberapa individu yang terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis turut memaklumkan akan memanggil wartawan Al Jazeera serta semua yang terbabit dalam membuat liputan berita dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close