Berita Utama

Isu Al Jazeera: Imigresen buru Rayhan Kabir

Lelaki warga Bangladesh dikehendaki untuk bantu siasatan

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memohon bantuan orang awam menjejaki seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Imigresen memaklumkan, lelaki dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, 25, menggunakan pasport bernombor BW0974403 dengan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew 55200, Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI), Nurulmasha Nazlinan Hussin.

“Mereka juga boleh hubungi Bahagian Operasi Siasatan Pendakwaan, Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya menerusi talian 03-88801298/1294 pada waktu pejabat dan 03-88801555 selepas waktu pejabat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rayhan adalah individu yang dipercayai terbabit dalam dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ disiarkan Al-Jazeera sebelum ini.

Dia dikesan membuat pelbagai dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan COVID-19.

Dokumentari agensi berita itu mendapat cemuhan rakyat yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut Al Jazeera memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar.

Katanya, Al Jazeera melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button