Laporan Al Jazeera berniat jahat, didalangi pihak tertentu?
Tangkap warga tempatan yang bawa masuk begitu ramai PATI
PIHAK berkuasa mesti menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Al Jazeera, atas laporan layanan buruk Malaysia terhadap PATI ketika wabak COVID-19.
Laporan tersebut ternyata amat berat sebelah dan tidak mustahil didalangi oleh pihak tertentu, yang cemburu dengan pendekatan terbaik Malaysia, sehingga diiktiraf dunia, dalam menangani wabak COVID19.
Jika Al Jazeera berniat baik, sudah tentu ia turut menemubual pihak bertanggungjawab, seperti imigresen, polis dan sebagainya.
Ini tidak, fokusnya lebih kepada kehidupan PATI, ketika semua warga berada dalam ketakutan wabak COVID-19. Mana tidak nampak negatif. Lebih-lebih lagi ketika serbuan, tindakan dan penguatkuasaan dilakukan bagi mengelakkan wabak merebak.
Nama pun PATI, cukuplah Malaysia sediakan segala peluang pekerjaaan untuk mereka, takkan nak dilayan dengan layanan kelas pertama.
Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hanya kerana beberapa insiden kecil, maka Malaysia ditonjolkan sebagai sebagai negara yang kejam dan zalim terhadap PATI.
Dalam kata lain, dalam 1,000, satu kelemahan, menenggelam 999 kebaikan. Ini sangat tidak adil. Ternyata mereka ini ada agenda jahat di sebalik.
Selama ini Malaysia adalah syurga bagi PATI. Tiba-tiba kita dilaporkan memberikan layanan buruk kepada PATI.
PATI adalah pendatang tanpa izin, sudahlah dilayan begitu baik sebelum ini. Sehingga kadangkala terlepas pandang warganegara sendiri.
Empat anak lelaki saya dan rakan-rakannya, terlibat secara langsung dalam misi memberikan bantuan melalui NGO belia, Youth Care Malaysia, dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, termasuk PATI, ketika COVID-19, tidak pula ditonjolkan dan ditemubual.
Begitu juga dengan banyak lagi organisasi lain, kenapa bantuan mereka terhadap PATI langsung tidak diberikan liputan meluas dalam video Al Jazeera? Tidak pula ditonjolkan organisasi atau NGO Islam yang membantu?
Sebalik lebih menonjolkan individu yang bernama Alex? Kenapa Alex? Bukan Ali? Apa tujuan semua ini? Agenda Kristianisasi apa yang cuba dibawa?
Pada masa sama, jika Al Jazeera benar-benar jujur dan berintegriti dalam laporannya, kenapa tidak mendapatkan pandangan atau membuat temubual dengan pihak yang bertanggungjawab seperti jabatan imigresen, polis dan sebagainya. Laporan menteri pun dikerat-kerat, bagi tujuan manipulasi.
Kebanyakan gambar yang disiarkan dalam video berdurasi lebih 25 minit itu hanya berfokus kepada penangkapan yang dilakukan. Nama pun PATI, sudah tentu mereka yang tidak ada dokumen perlu diselidiki ketika wabak melanda.
Kenapa tidak bandingkan dengan negara-negara lain yang melayan PATI? Jawapannya, mudah, Malaysia ibarat syurga bagi PATI, sehingga kadangkala mereka jauh lebih kaya daripada penduduk asal itu sendiri. Memang tidak boleh salahkan PATI jika mereka kaya, kerana mereka berusaha.
Pada masa sama, laporan Al Jazeera ini hendaklah dijadikan asas untuk mengambil tindakan dan menangkap warga tempatan yang membawa masuk sebegitu ramai PATI yang mendatangi negara ini agar dapat dihantar kembali ke negara asal daripada menyusahkan pihak berkuasa.
Dalang di sebalik laporan ini termasuk PATI tidak wajar lagi dilindungi kerana mereka sudah bersikap sudah diberikan betis hendak peha. Mereka yang bersekongkol termasuk pihak berkuasa mesti juga diambil tindakan.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.