Pengusaha tadika swasta berdaftar bakal terima geran RM5,000
Pengusaha tak berdaftar dengan KPM terima geran one-off RM3,000
BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju meluluskan pemberian geran secara one-off sehingga RM5,000 melalui Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) kepada pengusaha tadika swasta.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, geran itu sebagai inisiatif meringankan beban pengusaha tadika dalam membuka semula operasi bagi mengisi keperluan pendidikan prasekolah di negara ini, yang bermula sejak 1 Julai lalu.
Katanya, menerusi inisiatif itu, pengusaha tadika swasta yang berdaftar dengan KPM akan menerima geran secara one-off sebanyak RM5,000.
“Di samping itu, pengusaha tadika yang tidak berdaftar dengan KPM akan menerima geran one-off sebanyak RM3,000 sekiranya pendaftaran tadikan mereka dibuat sebelum 31 Oktober 2020.
“KPM yakin geran yang disediakan oleh kerajaan akan dapat membantu pengusaha tadika swasta meneruskan agenda pendidikan prasekolah serta menggalakkan tadika swasta yang belum berdaftar untuk berdaftar dengan KPM sebelum 31 Oktober 2020,” katanya.
Kerajaan memperkenalkan PENJANA yang bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka pendek dan merangkumi 40 inisiatif berjumlah RM35 bilion.