Berita Utama

Pensyarah politeknik didakwa perdaya majikan lebih RM175,000

Mahkamah benar ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan

MELAKA, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Seorang pensyarah Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdayakan majikannya dengan menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berjumlah lebih RM175,000 berhubung kegiatan sukan ragbi dan program pusat pengajian tinggi itu.

Mohd Shafie Osman, 39, membuat pengakuan tidak bersalah ke atas 10 pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Dia didakwa memperdaya majikannya dengan menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan pembekalan lapan aktiviti ragbi, keperluan aktiviti pelajar dan program Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat Politeknik Malaysia 2017 dengan nilai keseluruhan RM175,269.14.

Semua pembekalan terbabit didakwa sebenarnya tidak dilakukan dan pada pengetahuan tertuduh adalah bermaksud untuk mengelirukan majikannya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di PMM, KB 1031 Pejabat Pos Merlimau, Merlimau, Jasin antara 19 Nov 2014 hingga 6 Sept 2018.

Mohd Shafie didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan iaitu dengan curang menggunakan dokumen harga berasingan yang palsu sebagai tulen atas nama AK Maju Resources di tempat dan waktu sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM R. Francine Cheryl mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Namun, peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya yang masih berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, PMM perlu menanggung tiga anak dan ibu yang sedang uzur selain hanya berpendapatan RM6,000 sebulan.

Hakim Mohd Nasir membenarkan Mohd Shafie diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka pada minggu pertama setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button