Berita Utama

Mahkamah tolak permohonan Najib gugurkan hakim

Bekas PM berdepan 4 pertuduhan kes 1MDB, 21 tuduhan ubah wang haram

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1445H, Jumaat – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes berhubung penyelewengan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan bekas perdana menteri itu supaya menarik diri, disebabkan hubungan beliau dengan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Sequerah pada bulan lepas mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat di sebuah firma bersama dengan Loo, yang kini dalam tahanan polis.

Dalam keputusan hari ini, Sequerah berkata, ia memandangkan sejak Loo meninggalkan firma berkenaan pada 31 Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Loo, sama ada secara profesional atau peribadi, iaitu sejak kira-kira 15 tahun lepas.

“Sejak Loo meninggalkan firma itu pada 31 Disember 2008, tiada sebarang asas yang dikemukakan di mahkamah ini bagi menunjukkan sebarang hubungan, sama ada profesional atau peribadi, dan kini 15 tahun telah berlalu,” katanya.

Sequerah seterusnya berkata, perlu ada pertalian yang jelas antara hakim dengan keadaan yang berkaitan dengan keputusannya yang menjadi pertikaian, terhadap tanggungjawabnya untuk mendedahkan pekerjaannya sebelum ini di Tetuan Zain & Co.

“Tiada kemungkinan, tiada sedikit pun bukti untuk membentuk sebarang asas bagi menunjukkan wujud sebarang bentuk perhubungan mungkin boleh ditimbulkan. Berikutan perkara di atas, tidak ada keperluan di pihak saya untuk mendedahkan fakta pekerjaan lepas di firma guaman itu sebenarnya.

“Keputusannya ialah berdasarkan alasan yang dinyatakan, permohonan untuk saya menarik diri, dengan ini ditolak,” katanya.

Pada 14 Ogos, Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk Sequerah menarik diri daripada mendengar kes itu, selepas Sequerah mendedahkan bahawa Loo pernah menjadi bekas rakan sekerjanya kira-kira 10 hingga 15 tahun lepas.

Loo yang namanya disebut  lebih 600 kali semasa perbicaraan 1MDB, sebelum ini dianggap sebagai orang yang menjadi buruan pihak berkuasa sehingga baru-baru ini, apabila dia berada di bawah tahanan polis Malaysia.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Loo telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Susulan keputusan hari ini Muhammad Shafee berkata, beliau akan menfailkan rayuan, dan memohon satu perintah agar perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak oleh Sequerah dengan alasan tidak ada sebarang keadaan khas yang membolehkan penangguhan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan.

Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan  membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung 28 Ogos. – Bernama

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button