Berita Utama

Wajarkah Malaysia dibanjiri PATI atas nama hak asasi?

Siapa dalang dokumentari yang sengaja burukkan Malaysia?

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Enam persoalan perlu dijawab selepas Al Jazeera memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari mengenai cara negara mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Naib Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, rakyat secara umumnya marah dan menghentam Al Jazeera yang menayangkan dokumentari menyalahkan kerajaan bersikap tegas terhadap kebanjiran pendatang tanpa izin di Malaysia.

Tindakan itu dapat dilihat apabila ribuan rakyat memberikan komen mempertahankan tindakan kerajaan dalam menangani kes pendatang tanpa izin tatkala mengendalikan pandemik COVID-19 di Malaysia.

Berikutan itu Dr Zainur Rashid mempersoalkan adakah kita mahu membiarkan pemerdagangan manusia yang membawa ratusan ribu warga asing ke Malaysia.

“Adakah kita rela dengan kebanjiran jutaaan pekerja asing yang datang tanpa memiliki sebarang kebenaran atau permit secara rasmi? Tidakkah kemasukan pendatang asing yang terlalu ramai ini mengakibatkan isu keselamatan dan kesejahteraan negara?

“Tidakkah kebanjiran jutaan pekerja tanpa izin ini mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung beban bagi menjaga kebajikan mereka serta menanggung kos kesihatan melindungi mereka?

“Siapakah ‘mereka’ yang menjadi dalang sehingga lahirnya video dokumentari Al Jazeera yang memburuk-burukkan kerajaan Malaysia ini? Adakah wajar kita membiarkan negara ini dibanjiri jutaan pendatang tanpa izin atas nama hak asasi manusia?,” soalnya menerusi akaun Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat dan kerajaan Malaysia kerana bersatu hati dalam isu kesejahteraan serta keselamatan negara.

“Ini adalah sebahagian daripada petanda bahawa kita menyayangi negara Malaysia yang tercinta!,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dokumentari agensi berita antarabangsa itu mendapat cemuhan rakyat yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close