Berita Utama

Melayu tak prihatin kepentingan nasional hantar anak ke sekolah vernakular

Mengarut! Kiblat pengajaran Sejarah berasaskan Taiwan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Hanya orang Melayu yang tidak prihatin kepada kepentingan nasional dan nilai watan sahaja sanggup menghantar anak mereka ke sekolah vernakular – yang tidak mementingkan semangat nasional.

Terdahulu, menurut laporan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, lebih ramai pelajar Melayu dan India memasuki sekolah vernakular Cina tahun ini berbanding 2010.

Beliau berkata, data kemasukan pelajar Melayu menunjukkan peningkatan daripada 9.15 peratus pada 2010 kepada 15.33 peratus tahun ini.

Katanya, pelajar India dan kaum lain turut meningkat sedikit daripada 1.67 peratus kepada 2.75 peratus dan 1.02 peratus kepada 1.67 peratus dalam tempoh sama.

Di sekolah swasta pula katanya, terdapat 65.88 peratus pelajar Cina, diikuti pelajar Melayu dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak sebanyak 26.96 peratus, pelajar India (4 peratus) dan kaum lain (3.17 peratus).

“Penyertaan murid Melayu (di sekolah swasta) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus, manakala kaum Cina menunjukkan penurunan 0.44 peratus dan kaum India menurun sebanyak 0.21 peratus berbanding 2019,” katanya.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican menegaskan, sekiranya ibu bapa Melayu berpandangan sekolah kebangsaan tidak sempurna, apa yang perlu dilakukan adalah memberi teguran bukannya menghantar anak mereka ke sekolah vernakular.

Lebih menyedihkan apabila ibu bapa Melayu mendakwa, sekolah vernakular bagus sedangkan sebenarnya tidak dan bersifat antinasional, tegas beliau.

“Sepatutnya ibu bapa Melayu ini mesti ditegur. Bila begitu, mereka telah sabotaj sistem pendidikan persekolahan kebangsaan. Apakah anak mereka lebih pintar? Golongan ini telah sesat. Pemuja sistem songsang.

“Saya pernah berdebat dengan beberapa orang Cina dan mereka tidak boleh ‘justify’ kewujudan sekolah Cina. Kurikulum sekolah vernakular tidak patuh kepada pengajaran sejarah Malaysia walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) kata kurikulum sama. Sama tetapi diubah, pengajaran menyeleweng dari semangat pendidikan sejarah Malaysia.

“Apabila pengajaran sejarah di sekolah vernakular tidak memenuhi hakikat dan semangat nasional, maka ia tidak betul,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sehubungan itu beliau membantah sekiranya kerajaan bertindak memberi dana kepada sekolah berkenaan.

Jelasnya, selagi dana diberikan maka selagi itu hakikat kepentingan nasional dinafikan bahkan sejarah Malaysia diselewengkan.

“Mereka mengetepikan kepentingan nasional menggunakan buku teks mereka sendiri dan memberitahu saya mengajar sejarah antarabangsa lebih baik daripada sejarah Malaysia.

“Ini mengarut dan kiblat mereka dari segi pengajaran sejarah adalah sejarah Taiwan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kewujudan satu sekolah sahaja – sekolah nasional – untuk semua warganegara.

Sekiranya mahu juga budaya dan bahasa vernakular, Prof Ahmad Murad menyarankan supaya ‘tawafkan’ di sekolah kebangsaan termasuk tahfiz atau sekolah agama dengan menjadikannya sebagai sebahagian dari sekolah kebangsaan.

“Kita tidak menafikan perkembangan dan kegunaan bahasa dan budaya Cina dan India. Dalam sistem sekolah kebangsaan, kerajaan boleh memberi peruntukan kepada perkembangan bahasa dan budaya itu. Apa masalahnya?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button